KENINGAU: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Keningau menggesa Kerajaan Persekutuan menyemak semula kuota subsidi diesel 200 liter sebulan dengan mengambil kira realiti geografi, keadaan infrastruktur dan keperluan penduduk pedalaman Sabah.
Presidennya, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, berkata pelaksanaan kuota secara seragam tidak mencerminkan keperluan sebenar rakyat Sabah yang masih bergantung kepada kenderaan diesel sebagai pengangkutan utama bagi urusan harian dan aktiviti ekonomi.
Katanya, penduduk di kawasan pedalaman terpaksa menempuh perjalanan jauh melalui jalan yang mencabar untuk menghantar anak ke sekolah, berulang-alik ke tempat kerja, mendapatkan rawatan kesihatan serta mengangkut hasil pertanian dan bekalan ke kampung-kampung terpencil.
“Dalam keadaan jalan yang rosak dan jarak perjalanan yang jauh, penggunaan bahan api menjadi lebih tinggi. Justeru, kuota 200 liter sebulan dilihat tidak mencukupi bagi kebanyakan pengguna di pedalaman Sabah,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan 2026 Dewan Perniagaan dan Perusahaan Keningau di Hotel Juta Keningau, baru-baru ini.
Anthony berkata, keluasan Sabah, taburan penempatan yang berselerak serta kemudahan pengangkutan awam yang terhad menyebabkan ramai penduduk tidak mempunyai pilihan selain bergantung kepada kenderaan diesel.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan mekanisme subsidi yang lebih fleksibel, termasuk kuota tambahan bagi pengguna di kawasan pedalaman atau pendekatan yang mengambil kira faktor jarak perjalanan, lokasi geografi dan tahap pembangunan infrastruktur.
Beliau turut berharap kerajaan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri, persatuan perniagaan, pengusaha pertanian dan wakil masyarakat sebelum memuktamadkan sebarang perubahan dasar, bagi memastikan pelaksanaannya lebih adil dan selaras dengan keperluan sebenar rakyat Sabah.-pr/BNN





