PUTRAJAYA: Jumlah dagangan Sabah pada tahun 2025 bernilai RM105.5 bilion, sekali gus mengekalkan prestasi perdagangan negeri melebihi RM100 bilion selama empat tahun berturut-turut, walaupun mencatatkan penguncupan sebanyak 2.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sabah, 2026.

Penerbitan ini memaparkan statistik komprehensif meliputi nilai dan volum perdagangan luar negeri Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, mengikut rakan dagangan serta klasifikasi komoditi yang terperinci.

Dalam kenyataannya, DOSM memaklumkan bahawa jumlah eksport Sabah pada tahun 2025 berjumlah RM57.7 bilion, menurun 5.9 peratus berbanding RM61.3 bilion pada tahun 2024. Sementara itu, import meningkat 2.8 peratus kepada RM47.8 bilion berbanding RM46.4 bilion yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Imbangan dagangan Sabah kekal mencatatkan lebihan sebanyak RM9.9 bilion, namun jatuh sebanyak 33.3 peratus berbanding RM14.9 bilion pada tahun 2024.

Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global serta penyederhanaan permintaan terhadap beberapa komoditi utama, prestasi perdagangan Sabah terus menunjukkan daya tahan yang memberangsangkan.

Dari segi komoditi, petroleum mentah terus mendominasi eksport Sabah dengan nilai RM17.1 bilion, menyumbang 29.7 peratus kepada keseluruhan eksport negeri Sabah, diikuti minyak kelapa sawit sebanyak RM16.8 bilion (29.2%) dan gas asli cecair sebanyak RM4.6 bilion (8.1%).

Walau bagaimanapun, eksport petroleum mentah dan minyak kelapa sawit masing-masing merekodkan penyusutan sebanyak 19.6 peratus dan 2.9 peratus, manakala eksport gas asli cecair meningkat 2.0 peratus.

Bagi import pula, produk petroleum bertapis (RM4.8 bilion) dan baja yang dikilangkan (RM1.1 bilion) merupakan komoditi import utama.

STATISTIK NADI KEHIDUPAN Statistics is the Essence of Life 1Statistik perdagangan luar negeri Sabah turut merangkumi transaksi perdagangan antara wilayah, iaitu dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak, berdasarkan pergerakan fizikal barangan di pintu masuk dan keluar negeri Sabah.

Dari perspektif rakan dagangan utama, Semenanjung Malaysia terus menjadi rakan dagangan terbesar Sabah dengan jumlah perdagangan bernilai RM49.6 bilion, mewakili 47.1 peratus daripada keseluruhan perdagangan negeri Sabah.

China kekal sebagai rakan dagangan kedua terbesar dengan nilai RM10.4 bilion, diikuti Thailand (RM4.4 bilion), Republik Korea (RM4.2 bilion) dan Jepun (RM4.0 bilion).

Sementara itu, eksport Sabah ke negara-negara ASEAN berjumlah RM11.2 bilion, menurun 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dalam kalangan negara ASEAN, Filipina merupakan destinasi eksport utama dengan nilai RM3.9 bilion, mewakili 34.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Sabah ke rantau tersebut.

Thailand berada di kedudukan kedua dengan nilai eksport RM3.0 bilion (26.4%), diikuti Vietnam sebanyak RM2.1 bilion (18.6%).

Mengikut sektor ekonomi, sektor perlombongan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada eksport Sabah dengan nilai RM23.2 bilion, mewakili 40.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport.

Sektor ini diikuti oleh sektor pertanian dengan nilai RM22.1 bilion (38.3%) dan sektor pembuatan sebanyak RM12.3 bilion (21.3%).

Dari sudut penggunaan akhir, barangan perantaraan kekal sebagai kategori import terbesar dengan nilai RM17.5 bilion, menyumbang 36.7 peratus daripada jumlah keseluruhan import Sabah.

Kategori ini diikuti oleh barangan penggunaan sebanyak RM15.6 bilion (32.6%) dan barangan modal sebanyak RM7.3 bilion (15.3%). Import barangan penggunaan dan barangan modal masing-masing meningkat 13.2 peratus dan 9.1 peratus, manakala import barangan perantaraan menurun 5.9 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) dengan tema “Data Nadi Ekonomi Rakyat”.

Pelaksanaan Banci Ekonomi kali keenam ini berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026. BE2026 bertujuan untuk mengumpul data yang menyeluruh dan berstruktur daripada semua pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar di Malaysia, bagi menilai prestasi, struktur serta ciri-ciri ekonomi negara secara komprehensif dan berasaskan bukti.

OpenDOSM NextGen adalah medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.