KENINGAU: Dua pelajar Sekolah Menengah Advent Goshen (SMAG) mengharumkan nama sekolah apabila meraih satu pingat emas dan satu pingat perak pada Keningau Open Muaythai Championship 3.0 peringkat negeri yang berlangsung baru-baru ini.

Charice Aurelia Lee Victor muncul juara selepas memenangi pingat emas dalam kategori 16 hingga 17 tahun kelas 49 kilogram, manakala Aricca Evea Noemi membawa pulang pingat perak dalam kategori 16 tahun kelas 49 hingga 51 kilogram.

Kejayaan itu mencerminkan disiplin, ketekunan latihan dan semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh kedua-dua atlet, hasil bimbingan jurulatih serta sokongan berterusan daripada guru dan ibu bapa.

Pihak sekolah menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti komitmen SMAG dalam melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah dalam bidang kokurikulum, sukan dan pembentukan sahsiah selaras dengan nilai pendidikan Adventist.

SMAG turut merakamkan penghargaan kepada semua guru, jurulatih, ibu bapa dan penyokong yang sentiasa menjadi sumber kekuatan kepada para atlet sehingga berjaya mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri.

Di SMAG, setiap kejayaan bukan sekadar dihitung melalui pingat yang digenggam, tetapi melalui peribadi yang dibentuk. Apabila bakat dipupuk dengan disiplin, nilai murni dan iman, lahirlah generasi yang bukan sahaja berjaya di gelanggang, tetapi juga menjadi terang yang membawa harapan kepada masyarakat.-pr/BNN