KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) berjumlah RM30,600, merangkumi RM300 bagi setiap seorang daripada 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Tawau baru-baru ini.
Ketua Menteri menyerahkan bantuan tersebut menerusi Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana berkenaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana atas usaha tanpa henti mereka membantu mangsa banjir sepanjang insiden itu berlaku, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau, serta semua agensi dan ahli jawatankuasa yang terlibat.
Katanya, komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam melaksanakan operasi menyelamat, mengurus Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dan menyampaikan bantuan memastikan kebajikan mangsa banjir terpelihara sepanjang bencana tersebut.
Kejadian banjir di Tawau baru-baru ini menjejaskan 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang melibatkan 362 mangsa pemindahan, terdiri daripada 217 orang dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas, dan lapan bayi.
Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas keadaan kembali pulih seperti biasa.-pr/BNN





