KOTA KINABALU: Tamu Besar Kota Belud 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 18 Oktober depan menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung dari seluruh Sabah dan luar negeri.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick, berkata sambutan itu bukan sahaja menjadi platform keusahawanan dan jual beli, malah mengetengahkan kepelbagaian budaya serta identiti masyarakat di daerah berkenaan.

Katanya, majlis perasmian Tamu Besar Kota Belud akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada 17 Oktober ini dan turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah.

“Beberapa acara utama akan diadakan di tapak tamu, manakala pertandingan seperti lumba kerbau dan lembu berlangsung di padang atau dataran Kota Belud,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, antara kelainan penganjuran tahun ini ialah pelaksanaan Tamu Geopark Kinabalu dengan kerjasama Taman-Taman Sabah, yang diadakan seminggu lebih awal bagi menonjolkan keistimewaan Gunung Kinabalu yang sebahagiannya terletak di daerah Kota Belud.

Beliau berkata, Tamu Besar Kota Belud turut diserikan pelbagai pengisian kebudayaan daripada etnik Bajau, Iranun, Dusun dan lain-lain, sekali gus mengetengahkan nilai perpaduan serta kebersamaan rakyat Sabah.

Katanya, sambutan itu turut memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan ruang kepada usahawan dan peniaga memasarkan produk, termasuk parang, sayur-sayuran dan ikan liking, manakala kementeriannya turut menyalurkan peruntukan bagi menyokong penganjuran berkenaan.

“Saya amat yakin seperti tahun-tahun sebelum ini, peniaga kecil dan usahawan tamu akan mendapat rezeki serta pendapatan lebih baik, terutama apabila lebih ramai pengunjung datang. Siapa lagi yang boleh membantu dan menyokong usahawan tempatan kalau bukan kita,” katanya sambil mengajak rakyat Sabah serta pelancong dari luar negeri hadir memeriahkan Tamu Besar Kota Belud.

Hadir sama, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan.-pr/BNN