KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hari ini.
“Salam takziah diucapkan kepada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga atas pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Hajiji berkata Allahyarhamah merupakan seorang tokoh yang disegani dan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia melalui jasa, sumbangan serta dedikasi beliau kepada negara.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar yang pastinya dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi saat yang amat sukar berkenaan.
“Segala jasa dan bakti Allahyarhamah pasti akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Hajiji turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni segala dosa serta menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah, 100, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi hari ini. Berita pemergian beliau disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.





