KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Duta Besar Hungary ke Malaysia, TYT Dr Sándor Sipos di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji mengalu-alukan kunjungan itu dan berharap hubungan persahabatan antara Hungary dengan Sabah dapat terus diperkukuh menerusi penerokaan potensi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang demi kepentingan negeri dan rakyatnya.
Beliau berharap kunjungan itu membuka lebih banyak ruang kepada pertukaran kepakaran, teknologi dan pengalaman antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang yang berpotensi menyokong pembangunan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Ketua Menteri turut berharap potensi kerjasama yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada hubungan lebih erat dan peluang kerjasama yang memberikan manfaat jangka panjang kepada Sabah, merangkumi bidang pendidikan, pertanian, teknologi hijau, penyelidikan biodiversiti, teknologi perubatan, kebudayaan dan pelancongan.
Dalam bidang pendidikan, Hajiji berharap lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian di Hungary menerusi tawaran 40 biasiswa setiap tahun oleh kerajaan negara itu kepada pelajar Malaysia, termasuk dari Sabah, di bawah program Stipendium Hungaricum bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
Sementara itu, Sándor berkata Hungary merancang mengadakan ekspedisi saintifik ke Sabah tahun depan dengan kerjasama saintis dan universiti dari Hungary serta Malaysia bagi meneroka potensi penyelidikan saintifik dan memperingati sumbangan saintis Hungary, Franz Xaver Witti, yang pernah menjalankan ekspedisi di negeri ini pada abad ke-19.
Beliau berkata ekspedisi itu bertujuan memperkukuh kerjasama penyelidikan saintifik dan warisan budaya, selain akan diakhiri dengan penerbitan sebuah buku yang mendokumentasikan Sabah serta sumbangan Witti dalam sejarah negeri ini.
Sándor berkata hubungan sejarah Hungary dengan Sabah turut dapat dilihat menerusi penamaan beberapa lokasi geografi sempena tokoh Hungary, antaranya Banjaran Witti di kawasan Sandakan dan Bukit Andrassy di Tawau.
Beliau turut melihat potensi untuk mempererat hubungan Hungary dengan Sabah menerusi kerjasama dalam bidang kebudayaan dan pelancongan, selain pendidikan dan penyelidikan.
Katanya, Kerajaan Hungary turut menawarkan 40 biasiswa kepada belia Malaysia dalam pelbagai bidang serta lebih 600 kursus bahasa Inggeris.
Sándor berkata beliau juga akan berusaha mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan di Hungary, mengambil kira keunikan biodiversiti dan warisan budaya negeri ini.
Sebelum ini, Sándor turut mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, pada 30 Jun lalu sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama pembangunan strategik antara Hungary dengan Sabah.
Pada 30 Mei lalu, beliau turut mengadakan kunjungan kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pemodenan sektor pertanian, penyelidikan, inovasi dan pembangunan pertanian mampan.-pr/BNN





