KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menjalin kerjasama dengan Multisupply Enterprise Sdn Bhd bagi memperluaskan pemasaran produk baja ikan organik keluaran syarikat itu menerusi rangkaian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), ahli peladang dan komuniti petani di Sabah.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada satu majlis di sebuah hotel di sini, hari ini.

PPNS diwakili Timbalan Pengerusinya, Datuk Ng Loi Tect, manakala Multisupply Enterprise Sdn Bhd diwakili Pengarah Syarikat, Chia Sia Theng.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sabah, Tuan Haji Fitrisubroto Haji Yahmin; Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah serta Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPNS.

Menerusi persefahaman itu, kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama memperkenalkan, mempromosi dan meneroka peluang pemasaran produk baja ikan berkenaan, termasuk melalui rangkaian serta saluran perniagaan PPNS yang dipersetujui.

Skop kerjasama turut merangkumi penganjuran taklimat produk, demonstrasi dan sesi penerangan, selain perkongsian maklumat, bahan promosi, sampel serta maklum balas pelanggan bagi memperluaskan penerimaan produk dalam kalangan pengguna.

Produk utama yang diketengahkan ialah “HydroManis”, sejenis Asid Amino Ikan (Fish Amino Acid atau FAA) yang dihasilkan daripada 100 peratus bahan organik termasuk ikan dan molases.

Produk itu diproses di kilang Multisupply Enterprise Sdn Bhd di Wilayah Persekutuan Labuan dan diperkenalkan sebagai baja semula jadi untuk tanaman.

Antara manfaat HydroManis yang diketengahkan syarikat ialah membantu meningkatkan hasil tanaman, menghasilkan tanaman lebih segar dan bernutrisi tinggi serta meningkatkan kesihatan tanah.

Penggunaan bahan organik dalam penghasilan produk itu turut memberi penekanan kepada aspek kelestarian alam sekitar melalui pemanfaatan sumber organik, di samping membantu memastikan tanaman dan tanah mendapat bekalan nutrien yang mencukupi.

Menerusi kerjasama itu, PPNS akan membantu memperkenalkan produk kepada rangkaian PPK, ahli peladang dan pelanggan bersesuaian, selain mempertimbangkan peluang promosi melalui program serta saluran perniagaannya.-pr/BNN