KOTA KINABALU: Transformasi digital Sabah mesti menyokong matlamat lebih luas agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memperkukuh ekonomi, membangunkan modal insan serta meningkatkan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Pendigitalan tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan daripada pembangunan. Sebaliknya, ia perlu membantu kita melaksanakan pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Ketua Menteri berkata, tema sidang kemuncak itu, “Membina Masa Depan Digital Sabah – Membuka Potensi Borneo Seterusnya: Memacu Inovasi, Kesalinghubungan dan Pertumbuhan Berteraskan Al, mencerminkan satu tanggungjawab penting.

“Kita mesti memastikan kemajuan teknologi diterjemahkan kepada peluang yang lebih luas, perkhidmatan awam yang lebih baik serta peningkatan taraf hidup rakyat. Sabah sejak sekian lama dikenali dengan kekayaan sumber aslinya, termasuk hutan, sumber marin, tanah pertanian dan biodiversiti yang luar biasa.

“Semua ini kekal menjadi asas penting kepada identiti dan ekonomi kita. Aspirasi digital kita bukan untuk menggantikan kekuatan ini, tetapi untuk meningkatkan nilainya, menambah baik pengurusannya serta melindunginya demi generasi akan datang,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah mempunyai peluang untuk memperkukuh peranannya sebagai jambatan bagi perdagangan serantau, perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan berikutan kedudukannya yang berhampiran dengan pasaran negara jiran dalam BIMP-EAGA.

“Bagaimanapun, kedudukan geografi semata-mata tidak menjamin peranan tersebut. Kita mesti menyokongnya dengan infrastruktur yang boleh dipercayai, institusi yang berkeupayaan, tenaga kerja berkemahiran serta persekitaran yang menggalakkan pelaburan bertanggungjawab.

Aspirasi kita mesti disertai dengan usaha praktikal yang diperlukan untuk merealisasikannya,” katanya.

Ketua Menteri berkata, keutamaan dalam transformasi digital saling berkait, merangkumi kesalinghubungan dan infrastruktur digital yang boleh dipercayai, kecerdasan buatan (Al) dan teknologi baharu, pengkomputeran awan, kerajaan digital yang cekap, keselamatan siber, keusahawanan dan inovasi, pembangunan bakat, keterangkuman digital luar bandar, kelestarian alam sekitar serta perdagangan digital rentas sempadan.

Beliau berkata, keutamaan tersebut perlu diterjemahkan kepada penambahbaikan yang dapat dirasai oleh rakyat, sambil menegaskan bahawa kecerdasan buatan (Al) menawarkan potensi yang besar, namun penerapannya perlu dilaksanakan dengan matlamat yang jelas dan penuh berhemah.

Menurut­nya, Al menawarkan potensi yang besar, namun penggunaannya perlu dilaksanakan dengan matlamat yang jelas dan penuh tanggungjawab.

“Nilai Al bukan sekadar terletak pada penggunaan teknologi baharu, tetapi keupayaannya menyelesaikan masalah sebenar, sama ada melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih baik, peningkatan produktiviti, perancangan yang lebih berasaskan maklumat atau kesiapsiagaan menghadapi bencana yang lebih kukuh.

“Oleh itu, sidang kemuncak ini perlu menjadi platform kerjasama yang praktikal. Marilah kita mengenal pasti masalah yang perlu diselesaikan, rakan kerjasama yang bersedia menyumbang serta projek yang boleh dilaksanakan, dinilai dan diperluas sekiranya berjaya,” katanya.

Ketua Menteri berkata, kejayaan masa depan digital Sabah akhirnya akan dinilai berdasarkan sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

“Kemajuan digital yang hanya memberi manfaat kepada mereka yang sudah mempunyai akses kesalinghubungan yang baik akan memburukkan lagi ketidaksamaan sedia ada. Kita tidak boleh menerima keadaan sedemikian.

“Keterangkuman digital yang bermakna memerlukan lebih daripada sekadar liputan rangkaian. la memerlukan bekalan elektrik yang stabil, perkhidmatan mampu milik, peranti yang bersesuaian, kemahiran praktikal serta keyakinan untuk menggunakan teknologi dengan selamat.

“la juga memerlukan perkhidmatan dan peluang pembelajaran yang mengambil kira bahasa, keadaan serta keperluan masyarakat kita,” katanya.

Hajiji berkata, golongan muda juga mesti dilengkapi dengan kemahiran untuk mengambil bahagian sebagai pencipta, tenaga profesional dan usahawan, bukan sekadar pengguna teknologi.

“Ini memerlukan hubungan yang lebih erat antara sekolah, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), universiti, penyedia latihan serta pihak industri, termasuk institusi seperti Universiti Malaysia Sabah.

“Kita mesti mewujudkan laluan yang menghubungkan pembelajaran dengan peluang pekerjaan melalui pendedahan industri, latihan amali, program perantisan serta latihan profesional yang relevan.

“Pada masa yang sama, kita juga mesti menyokong pekerja dan pemilik perniagaan kecil yang perlu memperoleh kemahiran baharu seiring dengan perubahan cara bekerja akibat perkembangan teknologi,” katanya.

Bagi memberikan kejelasan dan meningkatkan keyakinan pelabur, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus menambah baik usaha memudah cara pelaburan, memperkukuh penglibatan dengan pihak industri serta menangani halangan pelaksanaan.

“Sebagai balasan, kita mengharapkan lebih daripada sekadar suntikan modal atau pengenalan teknologi baharu. Kita mahukan kerjasama strategik yang dapat membangunkan bakat anak Sabah, memperkukuh perusahaan tempatan, memindahkan pengetahuan serta membina keupayaan yang dapat dikekalkan di negeri ini untuk jangka panjang,” katanya.-pr/BNN