KOTA KINABALU: Kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) perlu mengambil serius laporan Ketua Audit Negara dan menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan sehingga menyebabkan masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi baja padi melibatkan beratus juta duit kerajaan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu, Datuk Jaimin Samitah berkata, masalah ketirisan telah menyebabkan duit kerajaan yang sepatutnya digunakan untuk membantu para petani dan peladang tidak sampai kepada golongan sasar.
Menurutnya, siasatan yang menyeluruh perlu dibuat terhadap laporan Ketua Audit Negara (KAN) tahun 2018 yang mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian ratusan juta ringgit seperti dakwaan yang amat mengejutkan oleh Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim di Persidangan Dewan Rakyat pada 2 Disember 2020.
“Ini adalah perkara yang sangat serius dan MAFI perlu membuat siasatan menyeluruh, termasuk Ketua Pengarah (KP) agensi yang bertanggungjawab, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Malaysia ketika itu. Haji Hamzah Bahari yang bertanggungjawab terhadap penggantungan perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), pada Jun 2018”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, semasa penggantungan perlembagaan NAFAS Hamzah mengatakan banyak sampah di NAFAS.
“SEBALIKNYA DENGAN KUASA ALLAH MAHU TUNJUKAN RUPANYA SAMPAH DI MAKSUDKAN SEBENARNYA ADA DI LPP DIMANA ORANG YANG MENDAKWA ITULAH RUPANYA BANYAK SIMPAN SAMPAH.
“Hamzah dan rakan-rakan beliau di LPP akan terima pembalasan diatas perbuatannya ini, setimpal bukan saja di dunia tetapi di akhirat kerana pengkhianatan yang menyebabkan institusi yang dimiliki oleh ahli-ahli peladang yang hidup susah sebagai pemegang saham di PP dari seluruh Malaysia dihancurkan dengan dakwaan tidak bertanggungjawab untuk menutup kesalahan sendiri”, dakwa Jaimin.
Menurut Jaimin, LPP merupakan pihak yang terlibat menyediakan senarai penerima bantuan subsidi baja padi seluruh negara dan bukan NAFAS kerana pertubuhan itu hanya dilantik oleh kerajaan dalam pengagihan subsidi.
Beliau mendakwa, Hamzah yang merupakan Ketua Pengarah LPP Malaysia pada tahun 2018 cuma menjadikan NAFAS sebagai “kambing hitam” dalam kes ketirisan baja subsidi kepada pesawah.
“Hamzah cuba menutup salah lakunya dan LPP dalam isu tersebut, justeru siasatan yang menyeluruh amat diperlukan bagi mencari siapa dalang yang menyebabkan berlakunya ketirisan beratus juta duit kerajaan”, dakwa Jaimin.
Katanya, para peladang dan pesawah amat memerlukan bantuan baja bersubsidi daripada Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi.
Menurutnya, sebarang kelemahan yang berlaku dalam pengagihan baja subsidi kerajaan perlu ditangani segera agar golongan sasar yang betul-betul layak mendapat manfaat daripada program subsidi kerajaan.
Anwar semasa membahas Belanjawan 2021 di Parlimen berkata, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, 7 ribu pesawah yang sudah meninggal masih mendapat subsidi dan insentif berjumlah RM57.9 juta dan individu yang tidak wujud dalam sistem mendapat subsidi sekitar RM28.9 juta, sementara nombor Kad Pengenalan diragukan sebanyak RM108.8 juta.-pr/BNN