KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat kerajaan baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu melengkapkan diri dengan maklumat terkini termasuk meningkatkan kefahaman mengenai polisi dan dasar di peringkat negeri serta nasional.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia penting bukan saja untuk memberi keyakinan kepada rakyat, tetapi menjadikan seorang ahli politik itu lebih disegani dan berwibawa.

“Dalam era kecanggihan informasi, apa juga perkara yang berlaku akan tersebar dan menjadi viral dengan begitu pantas dan luas. Justeru sebagai pemimpin kerajaan, kita perlu sentiasa bersiap sedia melengkapkan diri dengan maklumat terkini terutama fakta.

“Semua wakil rakyat juga perlu memahami isu yang dibangkitkan sebelum mengambil tindakan atau membuat kenyataan di media rasmi atau sosial. Kita juga perlu membuat penyampaian dengan jelas dan tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Minda rakyat hari ini tidak sama seperti dulu kerana ramai anak bangsa kita memiliki pendidikan dan kemahiran yang melangkaui persada global.

“Rakyat sama ada penyokong atau bukan sentiasa memerhati kita sebagai wakil mereka. Apa yang kita bahaskan dan cara penyampaian serta penampilan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mendapat perhatian media dan menjadi perbualan rakyat,” katanya ketika merasmikan Konferen Backbenchers GRS di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Pengerusi Kelab Backbenchers GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan menteri serta pembantu menteri Kabinet negeri Sabah.

Konferen itu anjuran Kelab Backbenchers GRS bersama Jabatan Perkhidmatan Negeri Sabah (JPAN) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Hajiji berkata, berkomunikasi secara maya sudah menjadi kebiasaan baharu dalam semua peringkat masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda masa kini.

“Sudah pasti ini akan menjadi cabaran kepada wakil rakyat yang tidak menguasai kemahiran selari dengan perubahan tren ini. Pejabat Maya (Virtual Office) dan Small Office and Home Office (SOHO) juga telah semakin penting dan meluas dengan adanya pelbagai aplikasi atas talian yang mempermudah dan mempercepatkan kerja serta komunikasi.

“Justeru, saya berharap supaya aktiviti Kelab Backbenchers GRS ini akan terus digiatkan dan menjadi medan percambahan minda, menimba ilmu dan pengalaman demi pembangunan rakyat serta negeri ini,” katanya.

Hajiji turut merakamkan terima kasih kepada pemimpin dan wakil rakyat yang terus bekerjasama membantu rakyat yang terkesan dalam menghadapi pandemik COVID-19 ketika ini.-pr/BNN

 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam (empat dari kiri) dan Pengerusi Kelab Backbenchers Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Salleh Said Keruak (tiga dari kanan) dan jemaah menteri serta pembantu menteri Kabinet negeri Sabah dan wakil rakyat GRS sempena Konferen Backbenchers GRS di Sabah International Convention Centre (SICC) di Kota Kinabalu, hari ini.