KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 184 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 33,823 kes. Dua (2) kes kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu (1) kes di Daerah Kota Kinabalu dan Sandakan. Takziah kepada keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 263 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 31,005 orang. Sejumlah 2,117 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 643 orang di hospital dan 1,474 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 58 orang dan 17 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Terdapat satu (1) kluster baharu dilaporkan di Daerah Ranau iaitu Kluster Maringkan mencatatkan satu (1) kes hari ini menjadikan kumulatif 11 kes. Kluster ini berkaitan mesyuarat geran tanah.

Daripada 184 kes positif COVID-19 yang dicatatkan, sebanyak 98 kes (53.3%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat di 12 daerah, saringan bergejala 37 kes (20.1%), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 13 kes (7%), saringan komuniti 7 kes (3.8%) dan 29 kes (15.8%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 948 unit. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,416 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,364 unit. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 33.27%.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 239 buah kenderaan yang sedia digunakan bagi tujuan bantuan logistik COVID-19. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19, manakala 15 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran. Baki 203 kenderaan pelbagai jenis bersedia digerakkan jika perlu.

Orang ramai dinasihatkan untuk terus patuhi SOP dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan ketika mengunjungi tempat tumpuan awam seperti pasar raya dan pasar awam bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Pihak PDRM juga akan terus melaksanakan pemantauan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar pada SOP yang sedang berkuat kuasa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi awam di enam (6) premis di empat (4) Daerah iaitu Kinabatangan, Keningau, Semporna dan Sandakan.

Hebahan  umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Malaysia Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 159 lokasi di 21 daerah. Hebahan dibuat dalam enam (6) bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Dusun, Bahasa Murut, Bahasa Iranun dan Bahasa Bajau.

Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19. Bersama-sama kita putuskan rantaian COVID-19 dengan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian demi kesejahteraan diri, keluarga serta masyarakat.-

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
17 Disember 2020