SIPITANG: Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) bahagian Sindumin kesal kerana bantuan bakul makanan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah lambat diagihkan kepada penerima yang layak.

Setiausaha Bahagian N. 35 Sindumin, Encik Eric Suab Boh berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang kampung berhubung kelewatan penghantaran bantuan bakul makanan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sipitang.

Katanya, berikutan meningkatkan mendadak kes positif COVID-19 di daerah Sipitang, menyebabkan semakin ramai penduduk kampung diwajibkan menjalani kuarantin di rumah oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, keluarga yang menjalani kuarantin wajib tidak dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan harian termasuk makanan di kedai berdekatan atau pekan bagi membendung menularan wabak itu.

Justeru katanya, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi PKOB Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diamanahkan untuk menghantar bantuan bakul makanan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah.

“Malangnya yang berlaku sekarang ialah terdapat keluarga yang telah menjalani kuarantin lebih 5 hari hingga seminggu di rumah tetapi masih belum mendapat bantuan bakul makanan daripada PKOB Daerah.

“PKOB Daerah Sipitang telah gagal menghantar bantuan bakul makanan kepada keluarga yang terlibat pada kadar segera sehingga menyebabkan ramai penduduk kampung terkesan akibat kehabisan bekalan makanan di rumah. Contohnya di LIGS Skim Mendulong, Kg.Samin dan lain-lain.

“Kita amat kesal dengan kelewatan pihak PKOB Daerah Sipitang bertindak membantu keluarga yang menjalani kuarantin di rumah. StarSabah DUN Sindumin berharap Pegawai Daerah (DO) dan jawatankuasanya akan bertindak dengan lebih berkesan membantu penduduk kampung yang terlibat”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eric berkata, sebarang kelewatan menghantar bakul makanan oleh pihak PKOB sehingga menyebabkan kemarahan rakyat akan mendatangkan kesan negatif kepada Kerajaan GRS.

“Kita berharap masalah kelewatan bantuan bakul makanan oleh PKOB Sipitang tidak berulang di masa akan datang”, katanya.

Beliau menggesa penduduk yang menjalani kuarantin wajib agar menghubungi Pegawai Daerah untuk mendapatkan bantuan bakul makanan.-pr/BNN

Encik Eric Suab Boh