KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri untuk memberikan 10,000 komputer riba kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang memerlukan.

Yang Di-Pertuanya, Datuk Fatimah Sarah Ahmad Noor berkata, langkah tersebut, seperti yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pasti akan menyuntik semangat untuk belajar dikalangan para penerimanya, terutama mereka daripada golongan B40.

Selain itu, katanya, sumbangan bantuan tersebut juga dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh para ibu bapa dalam menyediakan peralatan tersebut untuk pembelajaran secara dalam talian atau PdPR.

Beliau juga berharap bakal para penerima akan menghargai sumbangan bantuan tersebut dengan menggunakan komputer riba sepenuhnya dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di atas keprihatinan terhadap para pelajar terutamanya mereka daripada golongan B40 di negeri ini.

“Saya berharap pihak Kerajaan Negeri akan dapat meneruskan pemberian bantuan komputer riba ini, agar ianya dapat menaikkan mutu pendidikan terutamanya di kalangan pelajar daripada keluarga B40 di Sabah.

“Saya percaya pemberian bantuan daripada Kerajaan Negeri ini juga akan dapat menjadi pelengkap (complement) kepada usaha Kerajaan Persekutuan yang juga telah berjanji untuk memberikan sumbangan bantuan seumpama itu,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

Pada Ahad (6 Jun) lalu, Hajiji mengumumkan Kerajaan Negeri Sabah akan mengagihkan sebanyak 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar Tngkatan 5 dan 6, bermula 19 Julai hingga 18 Oktober ini.

Katanya, pemberian komputer riba itu membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), pada penghujung tahun ini.

Pemberian komputer riba itu yang dipersetujui oleh Kabinet, membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta, kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan.

“Pengagihan akan mengambil masa selama kira-kira tiga bulan sehingga Oktober ini. Kerajaan Negeri berharap pemberian komputer riba ini akan membantu pelajar yang tidak berkemampuan.

“Ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu agar pelajar yang tidak berkemampuan tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.

Pengagihan komputer riba menerusi BAIK untuk Fasa 1 ini membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

Menerusi Mesyuarat Kabinet sebelum ini, jemaah menteri bersetuju supaya satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dibentuk untuk mencari kaedah membantu pelajar yang tidak berkemampuan, agar tidak tercicir dalam PdPR.

Kementerian Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah, manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenalpasti serta menentukan komputer riba yang akan diagih kepada pelajar yang layak.

Hajiji berkata mesyuarat memutuskan untuk Fasa 1, sebanyak 10,000 komputer riba diagihkan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6, yang akan mengambil peperiksaan tahun ini.

Pemberian komputer riba untuk Fasa 1 itu, membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar.

“Komputer riba daripada pelbagai jenama termasuk ACER, Lenovo dan DELL itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT)

Pada awal tahun ini, Hajiji memaklumkan kerajaan akan berusaha menyediakan gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan berikutan pelaksanaan PdPD ketika PKP.-pr/BNN

Kapsyen:

Datuk Fatimah Sarah