KOTA KINABALU: Usaha murni Kerajaan Negeri Sabah untuk menyediakan 10 ribu unit komputer riba kepada pelajar miskin tegar dan tersenarai sebagai e-kasih adalah tidak lain tidak bukan adalah bagi memastikan usaha bagi mereka terus mendapatkan pendidikan tidak tersekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata kerajaan seboleh-bolehnya tidak mahu ada pelajar yang tercicir dalam usaha mendapatkan pendidikan khasnya pada masa kini selepas sesi persekolahan secara PdPR diteruskan sehingga 16 dan 17 Julai 2021.

“Tujuan pemberian komputer riba ini adalah hanya satu, dan jelas sekali adalah untuk memeastikan supaya tidak ada pelajar yang tercicir dalam pembelajaran, inilah bukti keprihatinan Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Jika kita tidak mengambil langkah ini dan hanya berharap untuk terus menunggu agihan daripada Kerajaan Persekutuan, bukankah anak-anak kita sendiri di negeri Sabah yang akan ketinggalan?,” katanya.

Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, merangkap Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan mempersoal kewajaran pemberian 10 ribu komputer riba dengan nilai perbelanjaan RM15 juta oleh Kerajaan Negeri.

Abdul Rahman turut membangkitkan isu bahawa jumlah perbelanjaan RM15 juta itu adalah lebih baik untuk dibelanjakan bagi tujuan membantu peniaga kecil dan orang kampung.

Fairuz berkata, isu yang dibangkitkan oleh Abdul Rahman itu adalah suatu isu yang tidak wajar kerana soal pendidikan anak-anak di negeri Sabah bukan suatu aspek yang perlu diambil mudah dan dipandang remeh.

“September nanti memang Kerajaan Persekutuan akan memberikan bantuan komputer riba sebanyak 96,823 unit kepada pelajar yang layak dan memerlukan, tetapi, bukankah masih panjang masa untuk kita hanya menunggu semata-mata, sedangkan pada masa kini, di saat kita Total Lockdown ini, sesi persekolahan secara PdPR diteruskan sehingga 16 dan 17 Julai 2021, seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin.

“Kita tidak mahu dan seboleh-bolehnya ingin anak-anak kita yang memerlukan bantuan komputer riba untuk tujuan pembelajaran ini, dibantu, masa itu tidak menunggu kita dan jika hanya berpeluk tubuh dan menunggu, bukankah anak-anak kita di negeri ini yang akan lebih lama tercicir di belakang?.

Fairuz yang juga merupakan Ketua Armada BERSATU Sabah itu juga berkata, kuota agihan komputer riba yang akan diagihkan oleh Kerajaan Persekutuan khasnya untuk Sabah masih tidak diketahui dan Kerajaan Negeri tidak boleh berdiam dan hanya menunggu.

“Sebagai Kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat, dipilih oleh rakyat, wajarkah kita terus membiarkan rakyat, khasnya anak-anak bangsa kita untuk tercicir dalam pembelajaran, semata-mata kerana beranggapan bahawa tunggu saja peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak perlu berbuat apa-apa?…. Ini tidak wajar.

“Pemberian awal komputer riba daripada Kerajaan Negeri ini boleh dikatakan sebagai perintis kepada usaha seterusnya dari Kerajaan Persekutuan yang mana insyaAllah akan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar.

“Pada saya, kita patut gembira apabila khabar baik ini diumumkan kerana manfaat ini adalah untuk anak-anak kita di Sabah, yang bakal menerajui dan membawa kejayaan kepada negeri kita kelak,” katanya lagi.-pr/BNN