TUARAN: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) yang
ditubuhkan pada tahun 2009, bukan sahaja merancang dan menyelaras aktiviti pembangunan di Sabah tetapi diminta terus aktif dalam program tanggungjawab sosial
korporat (CSR) di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata usaha SEDIA
melancarkan program CSR untuk mengenal pasti kawasan yang penduduknya amat
terjejas oleh pandemik COVID-19 dan mengedarkan bantuan bakul makanan kepada
mereka, amat dialu-alukan.
“Usaha CSR oleh SEDIA ini juga dilihat sebagai mendukung usaha kerajaan negeri yang turut mengagihkan bantuan (termasuk bakul makanan) untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik ini, terutama di kawasan yang disasarkan.
“Menerusi Program Sumbangan CSR oleh SEDIA pada hari ini, sebanyak 300 bakul makanan diagihkan kepada penduduk di beberapa kampung di daerah ini,” katanya di
sini pada Ahad.
Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA turut menyampaikan bantuan bakul makanan itu
kepada beberapa penduduk dalam majlis yang diadakan di Pusat Kebudayaan Bajau
Samah di Kampung Lok Batik, di sini.
Yang turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif; Pembantu Menteri
Kewangan Negeri, Jasni Daya dan Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Haji
Hashim Paijan.
Antara objektif program ini adalah untuk mengagihkan bantuan berupa bakul makanan kepada isi rumah yang dikenal pasti dan melambangkan solidariti usaha antara SEDIA, Kerajaan Negeri, dan petugas barisan hadapan dalam memastikan keselamatan rakyat
daripada pandemik COVID-19, selain membantu mempromosikan pendaftaran suntikan
vaksin COVID-19.
Hajiji berkata, penularan pandemik COVID-19 di negara ini termasuk di Sabah
menyebabkan peningkatan kadar pengganguran, operasi perniagaan terjejas dan
pergerakan rakyat juga tersekat dalam usaha membendung penyebaran virus
berkenaan.
“Saya berharap dengan pelaksanaan program CSR ini dapat mengeratkan hubungan
dan kerjasama antara masyarakat di kawasan yang terlibat, kerajaan negeri dan SEDIA
pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, SEDIA juga memastikan bahawa setiap usaha untuk mengedar bakul
makanan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terkini yang ditentukan kerajaan. SEDIA ditubuhkan pada 15 Januari 2009, melalui penerapan Enakmen Pihak Berkuasa
Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah 2009, diberi kuasa yang diperlukan untuk
berfungsi sebagai Pihak Berkuasa Sehenti (One-Stop Authority) bagi merancang, menyelaras, mempromosikan dan mempercepat pembangunan Koridor Pembangunan
Sabah (SDC).-pr/BNN