KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama dalam Kerajaan Negeri dan mendokong mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri ke-16, pada bulan September lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, beliau telah berkomunikasi dengan semua pemimpin parti komponen GRS berkaitan perkembangan politik terkini di Kuala Lumpur.

“Kami sependapat dan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama dalam kerajaan
negeri yang memerintah hari ini, akan berterusan.

“Kami akan terus mendokong mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan
raya negeri yang lalu,” katanya.

Ketua Menteri berkata semua pemimpin GRS juga sepakat untuk mengambil apa
jua langkah yang perlu untuk memantapkan dan memperkuatkan lagi kerajaan
GRS.

“Saya berdoa agar kemelut politik di Kuala Lumpur dapat diselesaikan dengan
segera secara baik dan saksama agar kita dapat menumpukan perhatian dalam
usaha menangani ancaman pandemik COVID-19, pemulihan ekonomi dan
kestabilan politik,” katanya.-pr/BNN