KOTA KINABALU: Penerangan Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menafikan dakwaan kononnya 20 bahagian parti mengemukakan usul mendesak Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda, supaya berundur daripada jawatannya.
Penerangan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat dalam kenyataan menerusi Facebook berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar dan tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam kepimpinan pergerakan itu.
Menurutnya, poster yang sedang tersebar menggunakan logo Sabah Info juga adalah palsu dan bukan bahan rasmi yang dikeluarkan pihak berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap organisasi dan kepimpinannya,” katanya.
Penerangan Wanita Gagasan Rakyat berkata, pihaknya masih memerlukan kepimpinan Redonah untuk meneruskan usaha memperkukuh organisasi, menjaga kesatuan dalam kalangan ahli serta melaksanakan agenda memperkasa wanita di peringkat akar umbi.
Katanya, perbezaan pandangan dalam mana-mana organisasi adalah perkara biasa, namun ia tidak sewajarnya dijadikan asas untuk mereka-reka cerita atau mewujudkan gambaran seolah-olah berlaku desakan besar-besaran terhadap kepimpinan.
“Perbezaan pandangan dalam mana-mana organisasi adalah perkara biasa, namun ia tidak sewajarnya dijadikan asas untuk mereka-reka cerita atau mewujudkan gambaran seolah-olah berlaku desakan besar-besaran terhadap kepimpinan,” katanya.
Penerangan Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat menegaskan, pergerakan itu kekal memberi tumpuan kepada perpaduan, kestabilan organisasi dan khidmat kepada rakyat, bukannya polemik yang bersandarkan maklumat tidak sahih.
Orang ramai turut diseru mendapatkan pengesahan daripada sumber rasmi sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat berkaitan organisasi dan kepimpinan Wanita Gagasan Rakyat.-pr/BNN





