KOTA BELUD: Pembangunan dan peningkatan modal insan masa kini perlu lebih difokuskan kepada belia termasuk dalam agenda pemulihan negeri dan negara bagi fasa endemik.
Ketua ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Fairuz Renddan berkata pembangunan dan kebajikan golongan belia boleh ditingkatkan khasnya dengan menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada generasi muda itu.
“Kita di ARMADA merasakan bahawa dengana adanya peluang pekerjaan yang lebih banyak dan luas, pastinya golongan belia dapat memanfaatkannya, khasnya bagi belia yang berada di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Persidangan Perwakilan BERSATU Bahagian Kota Belud 2021 di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu juga memberitahu bahawa semua ahli ARMADA sentiasa mendukung penuh kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelasnya, kerajaan juga boleh meneliti kembali usaha untuk memaksimumkan usaha pertambahan prasarana dan kemudahan sukan kepada belia demi memastikan fokus untuk melahirkan pemimpin masa depan yang aktif minda dan fizikal dapat direalisasikan.
“Kita amat berharap, agar kerajaan dapat menambah dan menyediakan prasarana dan kemudahan sukan kepada belia, kerana kita sedar bahawa keperluan untuk amalan gaya hidup sihat adalah penting untuk mewujudkan kestabilan dalam kesihatan fizikal dan mental, pelapis baharu kita kelak,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fairuz juga memberitahu bahawa ARMADA juga mencadangkan untuk had umur maksima anggotanya yang kini dihadkan kepada 35 tahun ditambah kepada 40 tahun.
“Hal ini kerana kita sedar bahawa ARMADA masih baru dan memerlukan masa untuk diperkenalkan kepada generasi pelapis di luar sana.
“Kita juga merasakan bahawa kita perlu memberi ruang kepada pimpinan ARMADA semasa untuk melatih dan memilih pelapis pimpinan ARMADA baharu yang akan menggantikan sayap ini kelak,” kata Fairuz.
Tambahnya lagi, kepimpinan ARMADA masa kini juga perlu melaksanakan program dan aktiviti yang sudah dirancang namun tertunda akibat penularan pandemik COVID19.-pr/BNN