KUDAT: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) merupakan rakan kerjasama pihak Kerajaan dalam menggerak pelbagai usaha yang baik di peringkat sekolah dan akar umbi.
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong berkata, ini menunjukkan peranan mereka sangat penting sebagai jambatan untuk berkomunikasi dua hala antara pemimpin dan rakyat.
“Kerjasama ini perlu dipupuk dan disuburkan agar kita boleh mencapai sasaran yang diinginkan,” katanya pada program penyerahan bantuan dana kepada PIBG 23 buah sekolah rendah, empat buah sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional serta enam buah persatuan.
Sesi penyerahan diadakan di Mini Dewan Pejabat Kecil Daerah Matunggong, kelmarin.
Setiap PIBG sekolah rendah dan sekolah menengah masing-masing menerima RM1,000, manakala setiap NGO menerima antara RM2,000 – RM5,000.
Antara penerima dana tersebut ialah Persatuan Talasemia (PERKETHA), PEMADAM, PUSPANITA, PENENUN dan KDCA Matunggong.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu sedikit sebanyak aktiviti persatuan masing-masing untuk menggerak tujuan dan objektif mereka,” kata Julita.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah, Willey Lampaki, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Marius dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), OKK Somuil bersama kakitangan pejabat ADUN Matunggong.-pr/BNN