Mantapkan saf kepimpinan, bawa amanat Presiden balik ke kawasan: Mizma

0
137
Mizma (empat dari kiri) bersama Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian berswafoto bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Panglima Abd.Rahman Dahlan.
Mizma Appedullah.

KUALA LUMPUR: Mantapkan saf kepimpinan dan pastikan amanat Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, diterjemahkan ahli Umno sekembalinya ke kawasan masing-masing selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Silam, Mizma Appehdullah, berkata ia penting untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) mencipta kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Dengan berakhirnya PAU 2017, kini masa kita untuk segera balik ke kawasan, dengan membawa pesanan pucuk pimpinan demi kemenangan parti pemerintah.

“Kita harus menyatukan hati mantapkan saf kepimpinan, jangan bersikap sambil lewa, elakkan perselisihan demi kuatkan kesatuan,” katanya ditemui pada hari terakhir PAU 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.

Mizma berkata sepanjang persidangan parti yang bermula pada Selasa lepas, pucuk pimpinan parti memberikan suntikan semangat kepada ahli-ahli parti mendepani cabaran pembangkang di gelanggang pilihan raya.

Sehubungan itu, beliau mahu ahli-ahli parti jangan leka berfantasi kerana, sebaliknya harus siapsiaga menanti semboyan pilihan raya ditiup bila-bila masa saja.

Katanya, amanah dan tanggungjawab yang dipesankan Presiden perlu digalas bagi menentukan kemenangan besar BN dengan majoriti dua pertiga.

Mizma (empat dari kiri) bersama Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian berswafoto bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Panglima Abd.Rahman Dahlan.

“Kita bukan sekadar mahu mempertahankan Putrajaya, tetapi lebih penting untuk menjamin masa depan generasi Transformasi Nasional (TN50),” katanya, sambil mengakui BN tidak harus gentar berdepan cabaran pihak pembangkang.

Dalam pada itu, Mizma yakin Umno dan BN Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Hj Aman, kekal sebagai simpanan tetap yang mampu memberi sumbangan besar kepada kemenangan manis dalam PRU-14 nanti.

Katanya, dengan sokongan mantap parti-parti komponen lain, BN Sabah kini dalam kedudukan mantap yang sedia untuk mengekalkan tampuk pemerintahan, baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

Beliau berkata Pergerakan Wanita Umno dengan slogan `PerangMestiMenang’ akan mengembleng usaha bersama-sama sayap parti yang lain, dalam menggalas tanggungjawab menterjemahkan amanat Presiden, sekali gus menjamin kemenangan mutlak Umno dan BN keseluruhannya.-pr/BNN