KOTA KINABALU: Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) Pertemuan Tahunan
Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia,
Malaysia dan Republik Singapura atau MABIMS Ke-46 perlu dijadikan tempat untuk
merangka inisiatif yang memberi impak kepada peningkatan taraf ekonomi umat Islam
di negara anggota MABIMS.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata ia penting terutama
selepas pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia yang turut menjejaskan
ekonomi seluruh dunia

“Pembangunan ekonomi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan
sesebuah negara. Saya berharap mesyuarat ini akan menjadi tempat untuk berbincang
sekali gus mencari inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi umat Islam di negara
anggota MABIMS.

“Ini kerana Mesyuarat SOM adalah forum yang amat penting untuk membincangkan isu
dan cabaran umat Islam dalam kalangan negara anggota MABIMS, termasuk aspek ekonomi,” katanya sempena Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Ke-
46 di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Majlis makan malam itu diadakan sempena Mesyuarat SOM, MABIMS Ke-46 Tahun
1444H/ 2022M.

Hajiji berkata pertemuan ini juga penting bagi mengeratkan hubungan dua hala yang
sedia terjalin antara Malaysia dan negara anggota MABIMS yang lain khususnya ke
arah usaha membangunkan umat Islam di rantau nusantara.

“Besarlah harapan saya agar mesyuarat ini bukan saja mengeratkan hubungan sedia
ada antara Malaysia dan negara anggota MABIMS, tetapi mampu mengukuhkan lagi
kesatuan serta menjadikan umat Islam di negara anggota MABIMS umat yang progresif
yang cintakan kedamaian dan keharmonian.

“Saya berharap tahap kerjasama dalam membangun umat Islam di negara anggota
MABIMS terus ditingkatkan khususnya dalam aspek daya tahan keagamaan dan mutu
kehidupan beragama serta kesejahteraan sosio-ekonomi,” katanya.

Sambil mengucapkan selamat datang kepada Ketua-ketua SOM dan delegasinya,
beliau berharap jalinan ukhuwah atas dasar Islam terus terjalin erat dan utuh.

Beliau turut berharap delegasi mesyuarat ini akan mengambil peluang melawat tempat
menarik dan keindahan laut serta pulau di negeri ini.

“Sabah mempunyai penduduk yang terdiri daripada 33 kumpulan pribumi yang
berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa dan 80 dialek etnik yang berbeza dan berlainan
agama.

“Perbezaan ini menjadikan negeri Sabah sebuah negeri yang unik serta istimewa
berbanding negeri lain di Malaysia. Keharmonian etnik hidup dalam suasana aman
damai dan saling hormat menghormati menjadikan negeri Sabah sering menjadi pilihan
utama destinasi pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.-pr/BNN