KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan akan mengetuai sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Gagasan
Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat, di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata parti itu akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini, dan telah iterima oleh GRS sebagai parti gabungan pada 9 Disember lalu.

“InsyaAllah, kita akan menggerakkan dan meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan
Sabah demi pembangunan rakyat serta negeri ini.

“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai ketua menteri.

“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Sabah,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan
Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Hotel Raia, di sini pada Ahad.

Menjawab soalan, Hajiji berkata Gagasan Sabah adalah parti sedia ada yang kini diambil alih dan diketuainya.GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji turut berasa hairan dengan sikap beberapa pihak yang masih tidak puas hati dengan pentadbirannya.

“Saya hairan kenapa sedangkan kita mengurus negeri dengan baik. Namun saya tahu, semua ini bukan kerana kita gagal urus negeri, sebaliknya ada perasaan rakus dan tamak dengan kedudukan.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan sokongan rakyat kerana kita telah berjaya melakukan yang terbaik untuk masa depan Sabah, saya yakin kita boleh mengatasi
semua cabaran dalam pemerintahan ini,” katanya.

Mengenai majlis itu, Hajiji melahirkan rasa gembira atas penganjuran konvensyen itu
dan mahu semua mahasiswa termasuk mereka yang berusia 18 tahun ke atas mempunyai pengetahuan mengenai keadaan dan perjuangan politik di negara ini termasuk di Sabah.

“Justeru, saya mahu lebih ramai mahasiswa Sabah di institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta seluruh negara dilibatkan dalam program yang dilaksanakan oleh Sayap Pelajar GRS.

“Menerusi penglibatan mereka dalam program seperti ini, kerajaan akan lebih maklum
segala kemahuan atau permintaan yang disuarakan oleh anaik-anak muda,” katanya.

Hajiji berkata, selain konvensyen ini, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai
platform kepada pelajar untuk berkongsi aspirasi dan juga menyuarakan hak mereka.

“Antaranya ialah penganjuran Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA). Semua ini memperlihatkan pengiktirafan kerajaan kepada anak muda terutamanya pelajar.

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan meneliti dan mengambil perhatian serius terhadap
setiap usul yang dicadangkan demi kepentingan bersama termasuk menerusi
konvensyen ini,” katanya.

Sehubungan itu Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah
RM16.42 juta dalam Belanjawan 2023 untuk melaksanakan Program Pembangunan
Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.

“Semua ini adalah bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi, Saya berharap
anak muda kita akan mengambil peluang segala inisiatif yang disediakan kerajaan kerana anda semua adalah aset yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau turut mengajak para mahasiswa untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan
dalam usaha membawa negeri Sabah lebih maju dan makmur serta menjayakan Hala
Tuju Sabah Maju Jaya.
Hadir sama Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden USNO, Tan Sri
Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin dan
Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS, Datu Hishamuddin Datu Hasim-pr/BNN