KP perlu beri penjelasan penempatan 8 pegawai LPP

0
1361
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas, Datuk Ng Loi Tect
KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas hari ini meminta Ketua Pengarah (KP) Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memberi penjelasan berhubung penempatan 8 pegawai kanannya.
Pengerusinya Datuk Ng Loi Tect berkata, beliau difahamkan 8 pegawai LPP tersebut sebelum ini ditempatkan di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
“Apabila perkhidmatan mereka tidak diperlukan lagi oleh NAFAS, mereka telah diarah balik serta merta oleh NAFAS bermula 23 Januari 2019.
“Malangnya sejak diarah balik sehingga ke hari ini sudah 20 hari,  mereka terpaksa duduk di bilik mesyuarat LPP kerana belum ada penempatan”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
8 pegawai berkenaan termasuklah bekas Ketua Pentadbir NAFAS,  Razana binti Ghazali dan bekas Timbalan Ketua Pentadbir, Encik Dzulfadli bin Johan.
Pegawai-pegawai lain ialah  Muhammad Azzrinie bin Shafie, Arzilinna binti Ahmad Kamal, Sophian Niza bin Ismail,  Farhana binti Sakiron, Mohd Hafiz bin Aziz  dan Mohd Redzuan bin Kassim.
Ng yang juga Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah berkata, walaupun penempatan pegawai LPP adalah bidang kuasa KP LPP, Haji Hamzah Haji Bahari,  namun hanya membiarkan 8 pegawai berkenaan duduk di bilik mesyuarat tanpa penempatan merupakan pembaziran sumber tenaga manusia.
“Atau ini disebabkan berlaku berlebihkan pegawai di LPP? Y.B Menteri Kewangan, Lim Guan Eng  perlu tengok agensi ini kerana kita bimbang LPP banyak membazir duit kerajaan untuk membayar gaji kepada pegawai yang berlebihan”, tegasnya.
Katanya, KP LPP sepatutnya menempatkan mereka di mana-mana bahagian atau negeri selaras dengan kekenanan dan gred jawatan mereka sebelum ini.
Justeru Ng menggesa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia  campur tangan dan memberi nasihat kepada KP LPP agar mereka diberi penempatan segera.
“Ini penting kerana 8 pegawai berkenaan adalah sumber tenaga yang harus dimanfaatkan untuk kepentingan LPP”, tambahnya.
Ng berkata, KP LPP perlu sedar bahawa 8 pegawai berkenaan dibayar gaji oleh kerajaan dan duit kerajaan itu adalah duit rakyat yang tidak wajar dibazirkan begitu sahaja.-pr/BNN