KOTA KINABALU: Sabah memerlukan kepelbagaian dari segi modal insan bagi
melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju
Jaya (SMJ), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Justeru katanya, pembangunan modal insan di Sabah tidak akan tertumpu dalam satu-
satu bidang tertentu sahaja, kerana negeri ini memerlukan kepakaran berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang yang lain.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri memberi keutamaan terhadap aspek pendidikan bagi
melahirkan lebih ramai modal insan berdaya saing, berketerampilan dan berkualiti tinggi
di negeri ini.
“Ini sejajar dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ yang mana modal insan antara
yang diberi perhatian”.
“Atas komitmen itu, kerajaan akan terus menyokong segala usaha Kementerian
Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Sabah dalam meningkatkan lagi
kecemerlangan pendidikan serta program berkaitan pembangunan modal insan di negeri
ini”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia
Zon Borneo 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk
Abidin Madingkir.
Menurutnya, aspek pendidikan dan modal insan menjadi antara agenda utama yang
ditekankan oleh Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan negeri Sabah.
Katanya, modal insan yang cemerlang dan berkualiti amat penting bagi menjayakan
pelbagai dasar, agenda dan program pembangunan kerajaan seterusnya memacu
kemajuan negeri ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata, Kerajaan sentiasa prihatin terhadap semua murid dalam menghasilkan
generasi baharu yang lebih kuat, tegap dan lebih cerdas serta memastikan mereka
mendapat manfaat sepatutnya daripada program susu sekolah yang memberi kebaikan
terutama kepada golongan muda.
“Justeru, Sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia yang bertujuan memupuk dan
menggalakkan amalan murid minum susu penuh krim, mampu menyumbang kepada
kesihatan dan tumbesaran yang baik. Anak-anak yang cukup zat seimbang ini akan
menjadi insan yang cerdas, aktif dan kreatif dan membawa kesan yang positif kepada
kemenjadian murid sebagai aset negara yang berharga.
“Saya percaya, generasi yang sihat, cergas dan berilmu, memiliki nilai sahsiah dan
berkemahiran tinggi dapat menabur bakti dan menyumbang kepada kesejahteraan
negara, terutama sekali di negeri ini”, tambahnya.-pr/BNN