KOTA KINABALU: Pemimpin masyarakat khususnya warga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) negeri ini perlu terus meningkatkan nilai integriti dalam jiwa dan gerak kerja mereka, kata Pengarah UPPM, Datuk Haji Awang Kadin Tang.
Katanya, mereka juga perlu sentiasa menjauhkan diri daripada melakukan amalan yang
mempunyai unsur rasuah, selain sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani amalan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewangan secara lebih holistik.
“Rasuah mungkin berlaku tanpa melibatkan duit, tetapi dalam bentuk yang lain seperti
penerimaan dan penyalahgunakan kuasa dan sebagainya”, katanya pada Seminar
Antirasuah dan Tatakelola “Ke Arah Memperkasa Jentera Pemudahcara” di Dewan
Bankuasi, Menara Kinabalu pada Isnin.
Seminar itu anjuran bersama UPPM Jabatan Ketua Menteri dan SPRM Negeri Sabah,
disertai oleh kira-kira 200 peserta terdiri daripada kakitangan UPPM daripada 73
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Sabah dan Ketua-Ketua Daerah (KD)
negeri ini.
Awang Kadin berkata, UPPM menganjurkan seminar itu dengan objektif meningkatkan
keyakinan dan kesanggupan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Ketua
Daerah untuk bersama-sama SPRM dalam menolak amalan rasuah, salahguna kuasa
dan penyelewengan.
Katanya, seminar itu juga bertujuan menyampaikan mesej antirasuah melalui PPM dan
KD sebagai ejen kerajaan yang berhubung secara terus kepada masyarakat di peringkat
akar umbi.
Beliau berkata, menerusi seminar ini dapat mengikis persepsi negatif masyarakat
terhadap usaha pencegahan rasuah, selain mengekalkan hubungan dan menghargai
kerjasama strategik dua hala SPRM Sabah dan UPPM, serta menggalakkan
masyarakat melaporkan jenayah rasuah kepada SPRM.
Awang Kadin juga berharap dengan penganjuran seminar itu akan menjadi jambatan
penghubung antara UPPM dan SPRM untuk menggerakkan lebih banyak program
usahasama pada masa akan datang.
“Semoga seminar ini membantu membentuk sebuah negara yang bebas rasuah dengan
warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti, dan integriti”, katanya.
Sebanyak 2 kertas kerja dibentangkan pada seminar itu yang bertajuk “Peranan
Pemimpin Masyarakat Dalam Memerangi Rasuah” oleh Pengarah Bahagian Urus
Tadbir Sektor Awam (BUTSA) SPRM, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj)
Sudirman Aban dan “Tatakelola Kepimpinan Untuk Kesejahteraan Masyarakat” oleh
Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Datin Yasmin Tan Sri
Ahmad Merican.-pr/BNN