KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, menyatakan bahawa kerajaan negeri Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan semula cadangan untuk menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Keputusan ini dibuat kelmarin secara sebulat suara oleh ahli- ahli mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah,  Datuk Seri Panglima Haji Hajiji  Haji Noor, selepas meneliti dan menilai pelbagai aspek, kata beliau.

Berkenaan dengan cadangan awal Sabah menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027, ia masih memerlukan persetujuan Jemaah Menteri.

“Kelmarin, kami telah bersetuju bahawa Sabah akan meneliti dan mempertimbangkan semula cadangan tersebut. Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan mengadakan
perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia untuk mendapatkan perincian lanjut cadangan penganjuran bersama Sukan SEA 2027.”

“Saya akan bertemu dengan Menteri KBSM secepat mungkin untuk membincangkan dan memperjelaskan perkara ini secara terperinci.  Hasil perbincangan dan maklumat terperinci berkaitan penganjuran akan dibentangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri Sabah.

Meskipun begitu, kerajaan negeri amat menyambut baik hasrat kerajaan persekutuan untuk menganjurkan temasya ini dan akan memberikan sokongan penuh serta bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan Sukan SEA 2027.