KOTA KINABALU: Hasrat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding secara terbuka menentang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) merupakan langkah politik yang tepat, berani dan selari dengan aspirasi rakyat Sabah, kata mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah.
Menurutnya, kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merangkap Pengerusi GRS dan Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Ali, menggambarkan keyakinan serta kematangan GRS dalam mendepani cabaran politik secara telus dan demokratik.
“Pertembungan terbuka ini amat wajar untuk menghapuskan pelbagai persepsi yang selama ini membelenggu hubungan antara GRS dan BN – termasuk tuduhan sabotaj dan dakwaan bahawa kemenangan sebelum ini adalah hasil pengaruh sebelah pihak semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah yang kini menyokong penuh pentadbiran GRS berkata, inisiatif ini memberi ruang kepada rakyat Sabah membuat pilihan yang lebih jelas dan bermaklumat.
Tambahnya, walaupun keputusan muktamad masih tertakluk kepada Majlis Tertinggi GRS, seluruh jentera perlu bersiap siaga dengan strategi, kekuatan maklumat dan semangat kemenangan.
Beliau turut menyokong kenyataan Hajiji mengenai keperluan formula kerjasama GRS-PH Plus yang harus berteraskan dominasi parti tempatan – satu pendekatan yang disifatkan selari dengan semangat rakyat Sabah.
“Rakyat mahu melihat anak watan Sabah menjadi peneraju dan tonggak utama di bumi sendiri. Slogan seperti ‘Sabah First’, ‘Sabah for Sabahan’ dan ‘Demi Sabah’ bukan sekadar kata-kata, tetapi harus menjadi asas kepada pembangunan negeri menerusi Wawasan Sabah Maju Jaya,” jelasnya.
Aksyah juga menempelak pihak pembangkang yang didakwanya tidak mahu mengakui  pencapaian GRS-PH Plus sejak dua tahun lalu.
“Walaupun ada yang enggan mengaku, rakyat hari ini sudah mula merasai kemajuan hasil dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri.
“Lalat tidak akan tahu wanginya bunga – begitu juga pembangkang yang terus menuding jari, walhal mereka sendiri gagal menunjukkan prestasi lebih baik,” katanya sinis.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar bijak memilih pemimpin yang membawa ‘vibe’ positif serta berpaksikan kerja nyata, bukan retorik atau sikap menyalahkan orang lain.
“Langkah Kinabalu oleh pembangkang sebelum ini telah menggugat kestabilan politik negeri. Kini, hanya dengan mengekalkan kerajaan sedia ada, Sabah boleh terus bergerak ke hadapan secara konsisten,” tegasnya.
Aksyah juga menyifatkan pertandingan terbuka antara GRS dan BN sebagai wadah terbaik untuk memperkukuh legitimasi rakyat, selain membina masa depan politik negeri yang lebih stabil, dinamik dan berorientasikan rakyat.-pr/BNN