KENINGAU: Kerjasama erat antara ibu bapa dan guru menjadi kunci utama dalam memastikan kecemerlangan pelajar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.

Beliau berkata, mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukan sekadar acara rutin, sebaliknya platform penting menyatukan suara dan peranan komuniti pendidikan dalam usaha memperkasakan pencapaian pelajar dari pelbagai aspek.

“PIBG adalah jambatan yang menghubungkan guru dan ibu bapa. Ia menjadi ruang untuk menyelaras usaha bersama demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang terbaik.

“Apabila guru memberi ilmu, ibu bapa pula menyokong di rumah dan pelajar berusaha gigih, kejayaan bukan lagi impian tetapi satu kenyataan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunsanad 2, dekat sini.

Annuar turut merakamkan penghargaan kepada barisan pendidik, jawatankuasa PIBG serta ibu bapa yang sentiasa komited mendukung usaha pendidikan, walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.

“Saya kagum dengan semangat semua pihak dalam memastikan pendidikan di SMK Gunsanad 2 terus maju. Komitmen guru, kerjasama ibu bapa dan penglibatan masyarakat adalah elemen penting dalam melahirkan generasi berakhlak dan berdaya saing,” katanya.

Turut hadir, Pengetua SMK Gunsanad 2, Ng Min Hoo @ Mike Eping, yang menyifatkan penglibatan aktif ibu bapa serta sokongan pemimpin masyarakat sebagai pemangkin kepada kemajuan prestasi sekolah.

Katanya, kolaborasi yang kukuh antara semua pihak menjadikan sekolah sebagai medan pembangunan modal insan yang holistik.

“Sokongan yang berterusan ini amat kami hargai. Ia memberikan dorongan moral kepada guru dan semangat kepada pelajar untuk lebih cemerlang dalam pelajaran serta sahsiah diri,” katanya.

Mesyuarat agung itu berlangsung dalam suasana penuh muafakat, dengan penyertaan ibu bapa, guru dan wakil pelajar, mencerminkan keutuhan kerjasama komuniti dalam memajukan pendidikan di kawasan ini. – pr/BNN