KENINGAU: Penduduk Kampung Tohan Baru, Bingkor kini menikmati kemudahan jalan konkrit baharu selepas laluan utama kampung itu berjaya dinaik taraf daripada jalan gravel, sekali gus memberi kelegaan kepada komuniti setempat.

Projek berimpak tinggi itu dilaksanakan hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, dalam usaha berterusan beliau memastikan kemudahan asas luar bandar terus dipertingkatkan secara menyeluruh.

Jalan Kampung Tohan yang baru di naikkan taraf

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tohan Baru, Lilly Korimput, berkata penambahbaikan itu amat bermakna kerana laluan berkenaan merupakan akses utama penduduk sejak sekian lama.

“Jalan ini digunakan oleh anak-anak ke sekolah dan juga petani yang membawa hasil pertanian ke kampung berhampiran serta ke Pekan Keningau.

“Dengan kemudahan jalan konkrit ini, risiko keselamatan dapat dikurangkan manakala pergerakan harian menjadi lebih lancar dan selesa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan mewakili seluruh penduduk kepada Robert atas komitmen berterusan dalam membawa pembangunan ke kawasan pedalaman.

Penaiktarafan itu juga dianggap sebagai satu manifestasi jelas terhadap iltizam Robert dalam memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar tidak dipinggirkan, selari dengan misi beliau memperkasa infrastruktur, menjana ekonomi setempat serta meningkatkan taraf hidup rakyat Bingkor secara mampan.

Robert sebelum ini sering menegaskan bahawa pembangunan luar bandar, khususnya dari segi jaringan jalan raya dan prasarana asas, adalah antara keutamaannya dalam menyantuni keperluan rakyat.

Dengan siapnya projek ini, penduduk Kampung Tohan Baru boleh menempuh kehidupan seharian dengan lebih yakin dan selesa, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi di peringkat kampung.-pr/BNN