KENINGAU: Nadi pengangkutan hasil pertanian di Liau Ito, Apin-Apin Bingkor kembali berfungsi apabila jambatan dan jalan utama yang menjadi laluan penting pekebun, penternak serta pesawah siap dibaik pulih dengan peruntukan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan.
Kerja baik pulih itu melibatkan penambakan tebing sungai, penimbusan tanah di kiri kanan jambatan serta penyelenggaraan jalan sepanjang 110 meter yang sebelum ini terjejas teruk dan menjejaskan rutin harian penduduk.
Bagi masyarakat setempat, inisiatif berkenaan hadir tepat pada masanya kerana jambatan itu dianggap ‘urat nadi’ ekonomi mereka.
“Jalan ini ibarat nyawa kami. Dengan adanya kerja baik pulih, hasil kebun boleh dihantar lebih cepat dan selamat. Kami amat berterima kasih kepada Dr.Jeffrey atas keprihatinan beliau,” kata seorang penduduk, Yaem Duam, ketika ditemui.
Menurut mereka, selain mengurangkan risiko kerosakan kenderaan, laluan yang dipulihkan itu juga mampu mengelakkan kerugian berulang akibat kelewatan membawa keluar hasil pertanian seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan tanaman kontan ke pasaran.
Dr Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri (MAFFI), berkata projek berkenaan selaras dengan agenda pembangunan luar bandar yang memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat.
“Sebagai wakil rakyat, kita perlu bertindak segera terhadap keperluan mendesak rakyat, terutama membabitkan prasarana asas yang menyokong kehidupan seharian mereka,” katanya.
Dengan siapnya projek itu, ratusan pekebun, penternak dan pesawah di Apin-Apin Bingkor diyakini bakal menikmati manfaat jangka panjang bukan sahaja dari sudut peningkatan ekonomi, malah turut memperkukuh kesejahteraan sosial masyarakat.-pr/BNN





