KENINGAU: Lega dan bersyukur. Itu reaksi petani di Kampung Muhibbah selepas pembentung jalan serta laluan utama yang rosak sebelum ini siap dibaik pulih, sekali gus memudahkan mereka mengangkut hasil pertanian ke pasaran dengan lebih cepat dan lancar.

Projek berimpak tinggi kepada penduduk luar bandar itu dibiayai melalui peruntukan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, yang juga Ahli Parlimen P.180 Keningau.

Kerja baik pulih dilaksanakan hasil kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) Keningau, Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan serta penduduk kampung.

Ketua Pejabat PKRP P.180 Keningau, Lectus Fung, berkata pembinaan pembentung jalan itu amat penting kerana laluan tersebut menjadi nadi penghubung utama petani di kawasan berkenaan.

“Kerjasama ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan infrastruktur asas rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, diberi perhatian. Dengan siapnya pembentung ini, para petani boleh memasarkan hasil mereka dengan lebih lancar dan cepat,” katanya.

Penduduk Blok Anggerik, Vincent Tham Soon Yeung, turut berkongsi rasa syukur apabila lori kini boleh masuk terus ke kebun selepas laluan dibaik pulih.

“Sebelum ini, kami terpaksa mengangkut hasil secara manual kerana jalan rosak teruk, terutama ketika musim hujan. Dengan adanya pembentung jalan yang baik, pendapatan kami dijangka meningkat dan semangat untuk terus berusaha juga bertambah,” ujarnya.

Rata-rata penduduk Kampung Muhibbah menyambut baik projek itu dan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Mereka menegaskan, meskipun projek ini dilihat kecil dari segi skala, namun impaknya amat besar terhadap kehidupan seharian penduduk, khususnya dalam usaha meningkatkan hasil pertanian serta menambah baik ekonomi keluarga.-pr/BNN