KENINGAU: Kepedulian seorang pemimpin bukan diukur melalui kata-kata, tetapi dizahirkan melalui tindakan nyata. Prinsip itulah yang terus dipamerkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, apabila terus menyalurkan sokongan kepada pelbagai lapisan masyarakat – dari pendidikan khas, kesihatan hingga belia dan sukan.
Dalam satu siri penyampaian sumbangan yang berlangsung di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan, Annuar menekankan bahawa khidmat kepada rakyat mesti merentas semua peringkat, tanpa mengira latar belakang.
Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Keningau II menjadi antara penerima sumbangan Annuar bagi menjayakan Jelajah Skill4life 2025 yang akan berlangsung di Tambunan, Ranau, Kota Belud dan Kota Kinabalu pada 7 hingga 10 Oktober depan.
Penyelaras program, Mildah Kasin, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan itu yang disifatkan mampu menyuntik semangat guru dan murid pendidikan khas dalam mengasah kemahiran vokasional.
“Bagi pihak sekolah, kami merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YB Datuk Annuar. Sumbangan ini bukan sahaja membantu kelancaran program, malah memberi motivasi kepada murid pendidikan khas untuk terus percaya bahawa mereka juga mampu berjaya,” katanya.
Annuar pula menegaskan bahawa murid pendidikan khas bukan sekadar kelompok istimewa, tetapi generasi masa depan yang perlu diyakini.
Dalam masa sama, kepedulian beliau turut dizahirkan kepada warga kesihatan apabila menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Cawangan Hospital Keningau bagi menjayakan Sambutan Hari Keluarga Hospital Keningau 2025 pada 10 Oktober depan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Penyelia Kemajuan Masyarakat Pejabat UPPM Liawan, Heldahwati Juhasin, kepada Bendahari Program, Joshua Anak Jalin.
Bagi Annuar, warga hospital bukan hanya barisan petugas kesihatan, tetapi sebahagian daripada “keluarga besar Liawan” yang perlu sentiasa dihargai dan didukung.
“Khidmat bukan retorik, tetapi tindakan; setiap langkah kecil untuk rakyat adalah jambatan besar menuju Liawan yang lebih terurus dan maju,” katanya.
Tidak ketinggalan, perhatian Annuar turut terarah kepada belia dan sukan. Canela Sports Club Keningau menerima sumbangan untuk membantu penyertaan pasukan hoki bawah 12 tahun daerah itu ke Kejohanan Hoki MSSM Peringkat Kebangsaan 2025 di Perak, dari 13 hingga 19 September ini.
Wakil kelab, Md Faizazul, menerima sumbangan berkenaan daripada Mohamad Raihan Jinode yang mewakili Annuar.
Dalam perkembangan berasingan, Julita Sundang turut menerima sumbangan untuk persiapan menyertai program Ziarah di Medan, Indonesia pada 15 November depan.
Bagi Annuar, inisiatif ini menggambarkan pendekatan kepimpinan yang menitikberatkan pembangunan belia, sukan serta keterlibatan masyarakat dalam aktiviti antarabangsa sebagai jambatan kemajuan Liawan.-pr/BNN






