KENINGAU: “Hari Malaysia bukan hanya sekadar tarikh, tetapi nafas yang menyatukan kita di bawah satu bendera, satu jiwa.”

Demikian penegasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman ketika merasmikan hebahan tentatif Karnival Hari Malaysia Kampung Masjid, di sini, semalam.

Beliau berkata, penganjuran karnival itu tidak harus dilihat sebagai acara tahunan semata-mata, sebaliknya wadah penting memperkukuh patriotisme dan perpaduan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita meraikan sejarah, tetapi yang lebih penting, kita menyalakan harapan untuk masa depan bersama,” katanya sambil menyeru rakyat terus berganding bahu demi kestabilan dan kesejahteraan negara.

Turut hadir memberi sokongan ialah isterinya, YM Datin Tengku Adlina Marita Tengku Adlin, yang sentiasa berdampingan dalam setiap program kerakyatan beliau.

Menurut Annuar, sambutan Hari Malaysia membawa mesej lebih besar daripada sekadar kibaran bendera atau pekikan slogan. Ia adalah tindakan nyata membina jambatan hati dalam kalangan rakyat, khususnya di kampung, pekan kecil dan kawasan pedalaman yang sering terpinggir.

Katanya, pengisian karnival seumpama ini mampu menjadi platform menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Karnival yang berlangsung di Kampung Masjid itu disifatkan tepat pada waktunya, di tengah cabaran politik dan keresahan rakyat. Ia menjadi ruang menyegarkan semula tekad bahawa Malaysia hanya akan terus teguh jika rakyatnya bersatu, saling menghormati dan berpegang pada semangat kekitaan.

“Dari sebuah kampung sederhana di Keningau, gema Hari Malaysia kembali bergema. Bukan hanya dengan kibaran bendera, tetapi dengan jiwa rakyat yang percaya bahawa masa depan negara dibina dengan kasih, pengorbanan dan semangat bersama,” katanya.-pr/BNN