KENINGAU: Kejohanan Memanah Tradisional BMBR 2025 berlangsung meriah di Lapang Sasar Memanah Kemantrah, Kampung Rezab Lambanga, di sini sempena penganjuran BMBR Sports Carnival 2025.
Acara anjuran Sekretariat BMBR dengan kerjasama Kelab Memanah Tradisional Kemantrah, Pejabat Wakil Rakyat N.40 Bingkor, serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.40 Bingkor itu berjaya menghimpunkan seramai 95 peserta dari seluruh Sabah termasuk Tawau, Sandakan, Pitas, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Papar, Tambunan, Tenom dan Tuaran.
Kejohanan itu bukan sekadar menguji kehebatan peserta dalam sukan tradisional, sebaliknya menjadi wadah memperkasakan warisan dan mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai lapisan.
Ketua Pemuda GRS Bahagian Keningau, Rafie Robert, berkata penganjuran tersebut membuktikan kesungguhan masyarakat tempatan dalam mengekalkan seni memanah sebagai satu identiti budaya dan sukan warisan negeri.
“Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi wadah penting untuk mengekalkan nilai tradisi sukan memanah di Sabah. Sambutan yang kita lihat cukup membanggakan, dengan penyertaan meluas daripada komuniti memanah di seluruh negeri,” katanya.
Beliau menegaskan, sokongan berterusan akan diberikan untuk memperluaskan program seumpama ini di masa depan.
“Program seperti ini akan terus diperkasa bagi melahirkan lebih ramai pemanah berbakat sejak dari akar umbi,” katanya.
Selain itu, kejohanan ini turut menjadi platform pengenalan kepada BMBR Sports Carnival, sebuah inisiatif sukan rakyat yang menghimpunkan pelbagai acara tradisional serta aktiviti komuniti di kawasan Bingkor.
Dengan sokongan padu masyarakat dan sambutan luar biasa dari peserta, kejohanan berprestij itu sekali lagi membuktikan keupayaan Bingkor menganjurkan acara sukan tradisional berskala besar yang memberi manfaat kepada pembangunan belia dan komuniti.
Sekretariat BMBR merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk peserta, urus setia, penaja dan komuniti setempat atas kejayaan penganjuran kali ini.
Kejayaan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti sukan serta kebudayaan di Bingkor, sekali gus memperkukuh peranan daerah ini sebagai pusat pembangunan sukan tradisional di Sabah.-pr/BNN





