KENINGAU: Walaupun tidak lagi memegang jawatan wakil rakyat, semangat khidmat masyarakat Datuk Annuar Ayub Aman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan terus dizahirkan menerusi pelaksanaan projek menaik taraf kemudahan asas di kawasan luar bandar.

Antara yang terbaharu ialah kerja membaik pulih tali air sawah di Kampung Senagang Lama bagi memastikan pengairan padi berjalan lancar. Projek itu dilaksanakan hasil kerjasama pasukan sukarelawan dengan bantuan jentera backhoe yang disumbangkan atas inisiatif Annuar sendiri.

Selain itu, jambatan Kampung Lingkudau yang sebelum ini sering tersumbat kini sedang dinaik taraf dengan meninggikan struktur bagi mengelak banjir dan menjamin keselamatan pengguna jalan.

Menurut Annuar, usaha berterusan itu dilakukan semata-mata demi kesejahteraan penduduk tanpa mengira kedudukan atau gelaran.

“Yang penting ialah kesinambungan khidmat. Selagi mampu, kita akan bantu apa yang boleh — untuk kemudahan rakyat kita sendiri,” katanya.

Projek kecil sebegini membuktikan komitmen Annuar untuk terus menabur bakti kepada rakyat Liawan, menjadikan khidmat beliau bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata.-pr/BNN