KENINGAU: Sokongan anak muda Sabah terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini semakin kukuh, berikutan keyakinan mereka terhadap keupayaan gabungan itu menjamin kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan negeri.

Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan, Bingkor dan Liawan menegaskan, kestabilan politik yang dibawa oleh GRS menjadi asas utama kepada kemajuan Sabah, termasuk dalam memastikan hak, peluang dan masa depan generasi muda terus terpelihara daripada ketidaktentuan politik.

Menurut mereka, GRS merupakan satu-satunya gabungan politik yang memberikan tumpuan menyeluruh terhadap pembangunan modal insan dan pendidikan anak muda di Sabah.

“Melalui pelbagai inisiatif seperti BUDI, BAGUS dan SUKSES, kerajaan negeri menyediakan bantuan kepada pelajar pra-universiti, institusi teknikal serta pengajian tinggi.

“Selain itu, usaha memperluas akses pendidikan di luar bandar dan memperkukuh latihan kemahiran TVET turut dipergiatkan bagi melahirkan belia yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.

“Dari segi kebajikan, kerajaan negeri melalui program Rumah Mesra SMJ memperuntukkan tambahan 10 unit rumah khas bagi belia yang baru berkahwin di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai tahun depan.

“Langkah itu memberi peluang kepada pasangan muda untuk memulakan kehidupan berkeluarga dalam suasana lebih stabil dan selesa”, kata Ketua Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat N.39 Tambunan, Ar-Rafi Yassin, Ketua Pemuda Gagasan Rakyat N.40 Bingkor, Daffri Adzahari dan Ketua Pemuda Gagasan Rakyat N.41 Liawan, Shahrastani Harimin dalam kenyataan ,sama, hari ini.

Menurut mereka, program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) turut menyediakan bantuan kewangan RM300 sebulan selama 12 bulan kepada 100,000 penerima yang layak — bukti nyata keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat termasuk golongan muda.

“Kerajaan turut memperkukuh ekosistem keusahawanan belia melalui skim SYABAS (Usahawan Belia) dan program Outreach Usahawan Muda, yang menyediakan latihan, bimbingan mentor serta akses pasaran.

Bantuan geran permulaan sebanyak RM5,000 kepada usahawan belia yang layak memberi peluang untuk mengembangkan perniagaan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan di peringkat komuniti”, katanya.

Menurutnya, pada masa sama, pelaburan industri berimpak tinggi seperti pembuatan elektronik dan sektor tenaga turut membuka ruang pekerjaan baharu kepada golongan muda.

Pelaburan syarikat SK Nexilis serta pembangunan Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dijangka mencipta ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sementara penubuhan SMJ Energy Sdn. Bhd. memperlihatkan kesungguhan Sabah mengurus hasil minyak dan gas untuk manfaat rakyat sendiri.

Ar-Rafi Yassin berkata, anak muda hari ini memilih GRS kerana gabungan itu bukan sahaja menjanjikan kestabilan politik, tetapi turut menyediakan pelan pembangunan ekonomi yang jelas dan realistik untuk masa depan belia Sabah.

Sementara itu, Daffri Adzahari, menegaskan bahawa belia perlu bijak memilih kerajaan yang terbukti melaksanakan pelbagai inisiatif khusus untuk mereka.

“GRS telah membuktikan kesungguhan memperjuangkan kepentingan anak muda melalui dasar dan pelan tindakan yang nyata. Belia perlu terus menyokong kepimpinan yang konsisten dan berwawasan,” katanya.

Manakala Shahrastani Harimin pula berkata, golongan muda mahukan kepimpinan yang stabil dan berpandangan jauh.

“Politik yang tidak menentu hanya akan menjejaskan peluang pembangunan dan masa depan generasi muda. GRS adalah pilihan terbaik untuk memastikan kesinambungan dan kestabilan itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan suara belia dalam setiap dasar dan perancangan pembangunan negeri.

Mereka turut menyeru semua anak muda Sabah agar bersatu di bawah panji GRS demi mengekalkan kestabilan politik yang menjadi tunjang kemajuan serta kesejahteraan negeri.

“GRS kekal sebagai pilihan terbaik anak muda demi masa depan Sabah yang lebih terjamin, progresif dan berdaya saing,” tegas mereka.-pr/BNN