KOTA KINABALU: Kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan penghuni Kolej Kediaman Usia 1-Borneo terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Program S.A.F.E dan latihan kecemasan kebakaran (Fire Drill) yang diadakan di kolej berkenaan, baru-baru ini.
Program anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) dengan kerjasama Urus Setia Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKU1B) serta Pasukan Emergency Response Team (ERT) itu memberi pendedahan praktikal kepada penghuni dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Dr. Frederick Josue @ Mohd Fadhil, berkata latihan ini penting memandangkan bangunan kolej yang telah berusia dan berisiko tinggi jika berlaku gangguan elektrik atau kecuaian manusia.
“Latihan seperti ini membina disiplin dan tanggungjawab penghuni untuk bertindak pantas, teratur dan selamat ketika kecemasan,” katanya.
Simulasi turut melibatkan demonstrasi pasukan bomba yang mempamerkan teknik memadam api dan menyelamat mangsa terperangkap, menjadikan latihan lebih realistik dan berkesan.
Program S.A.F.E diharap dapat memupuk budaya peka keselamatan dalam kalangan penghuni serta memastikan mereka lebih bersedia menghadapi sebarang risiko kebakaran pada masa hadapan. – pr/BNN





