KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan menegaskan bahawa perjuangan parti itu sentiasa berasaskan kepentingan rakyat Sabah dan bukan dipengaruhi agenda peribadi mana-mana individu.
Beliau berkata, setiap keputusan parti termasuk pemilihan calon pilihan raya dibuat secara teliti, berdisiplin dan berpandukan prinsip perjuangan STAR, iaitu Justice for Sabah dan Sabah for Sabahans. Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Bahagian STAR N.46 Nabawan, Jordan, yang meluahkan rasa kecewa selepas tidak dicalonkan untuk kerusi DUN N.44 Tulid.
Menurut Dr. Jeffrey, kerusi Tulid berada di bawah kepimpinan Datuk Evaristus dan STAR tidak akan melangkaui struktur organisasi hanya kerana tuntutan individu. Beliau menegaskan bahawa pemilihan calon dibuat berdasarkan penilaian kolektif melibatkan strategi parti, kekuatan akar umbi dan hala tuju jangka panjang.
Beliau turut menyatakan bahawa Jordan merupakan pemimpin muda berpotensi dan STAR merancang peranan lebih besar untuknya di peringkat Parlimen, termasuk sebagai calon berpotensi di Pensiangan pada PRU akan datang. Namun, Jordan dikatakan menukar keputusan selepas awalnya bersetuju untuk bertanding di Parlimen.
“Saya mahu lebih ramai anak muda berada di Parlimen. Namun, ramai yang berbakat kurang sabar dan mudah berputus asa,” katanya sambil menasihatkan golongan muda agar belajar menjadi pengikut yang baik sebelum memimpin.
Dr. Jeffrey turut menyeru semua ahli STAR supaya menghormati keputusan parti dan mengutamakan perpaduan demi perjuangan rakyat Sabah.
“Perjuangan STAR bukan soal siapa dapat kerusi, tetapi siapa sanggup berkorban untuk rakyat. Kesetiaan, disiplin dan keikhlasan adalah asas perjuangan politik yang bermaruah,” tegasnya.
Beliau menegaskan komitmen STAR untuk terus memperjuangkan autonomi negeri dan kedaulatan Sabah sebagai negeri yang ditadbir oleh anak Sabah sendiri, tanpa ruang bagi kepentingan peribadi.
Di akhir kenyataan, Dr. Jeffrey menyatakan pintu STAR tetap terbuka untuk Jordan sekiranya beliau memilih untuk kembali kepada perjuangan parti, sambil menegaskan keyakinan terhadap potensi kepimpinan anak muda yang setia dan berintegriti.-BNN





