TUARAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Tuaran menafikan sekeras-kerasnya pembabitan ahli atau jentera parti itu dalam insiden vandalisme terhadap papan iklan (billboard) milik calon Parti Warisan bagi DUN N.13 Pantai Dalit.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Tuaran, Razeef Rakimin, pihaknya dimaklumkan mengenai gambar tular yang menunjukkan billboard calon Warisan diconteng dengan tulisan “PKR Kirim Salam”.

Beliau menegaskan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja tidak mencerminkan budaya politik KEADILAN, malah tidak masuk akal kerana parti itu tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.

“Kalau KEADILAN Tuaran hendak berkirim salam, kami hanya perlu menggunakan WhatsApp atau berjumpa sendiri. Mungkin juga sambil menikmati kopi o kaw dan kuih penjaram di rumah calon Warisan,” selorohnya dalam satu kenyataan, menafikan sebarang pembabitan jentera parti itu.

Razeef berkata, KEADILAN Tuaran mengutamakan politik matang dan berharap semua pihak yang bertanding menjunjung semangat demokrasi dengan tidak melakukan provokasi atau sabotaj yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat di Sabah.

Beliau berkata, KEADILAN Cabang Tuaran bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Warisan ataupun pihak berkuasa sekiranya siasatan dijalankan bagi mengenal pasti pelaku sebenar.

“Kita mahu kempen pilihan raya berjalan dengan aman, tertib dan beretika. Tindakan khianat hanya menjejaskan imej demokrasi kita,” katanya.-pr/BNN