Bangkuai pada Abdul Rahman ‘ jangan jadi boneka Warisan’

0
99

KOTA KINABALU:Kenyataan mantan Anggota Dewan Undangan Negeri Parti Bersatu Sabah Abdul Rahman Kongkawang bahawa bekas partinya telah menyebarkan pembohongan tentang pendatang tanpa izin adalah membingungkan dan tidak betul.

Menjawab kenyataan bekas rakannya di PBS, Ketua Penerangan Datuk Joniston Bangkuai (gambar) berkata kenyataan  Abdul Rahman baru-baru ini juga sama seperti memanggil rakyat sebagai “pembohong”.

“Selama ini, PBS bertindak berdasarkan aduan orang ramai. Kami telah mengumpul laporan mengenai pendatang tanpa izin dan kegiatan yang boleh menimbulkan persoalan berkaitan dengan isu ini, terutama sekali yang sering diketengahkan oleh rakyat Sabah.

“Jadi, adakah anda (Rahman) mengatakan bahawa mereka (rakyat) itu adalah pembohong? Adakah anda menuduh mereka menyebarkan khabar angin? Adakah salah bagi kita di PBS untuk menjadi suara rakyat?

“Amat mudah beliau kini tiba-tiba menafikan kecurigaan beliau terhadap aktiviti yang didorong oleh Warisan. Malah ketika beliau masih berada di dalam PBS, beliau sering menyuarakan pendapat terhadap operasi dokumentasi pendatang tanpa izin di Sabah.

“Kenapa tiba-tiba bertukar haluan? Pemimpin yang benar akan berdiri teguh dengan pendirianmya. Jangan mudah berubah hati hanya kerana beliau telah melompat ke parti yang berbeza. Saya rasa amat mudah bagi sesetengah individu untuk mengoyahkan prinsip apabila mereka menukar pihak dan kesetiaan.

“Saya ingin mengingatkan Abdul Rahman supaya tidak menjadi boneka kepada Warisan demi mendapatkan keuntungan jangka pendek,” tegas beliau ketika mengulas kenyataan Abdul Rahman yang menuduh PBS dengan tegas menyatakan bahawa Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Warisan menyebabkan kebakaran baru-baru ini untuk mengeluarkan dokumen kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.

Perlu diingat bahawa berdasarkan penemuan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin, koloni setinggan di Sabah kebanyakan diduduki oleh pendatang tanpa izin.

Bangkuai berkata isu-isu berkaitan pendatang haram sememangnya menjadi keutamaan parti sejak penubuhannya 34 tahun yang lalu.

“Kami tidak nafikan beliau menganggotai biro khas PBS untuk menangani masalah pendatang tanpa izin di Sabah, tetapi kami tidak merasakan beliau mempunyai kredibiliti untuk bersuara mengenai isu itu kerana beliau tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat biro itu.

“Semasa dalam PBS, beliau sangat lantang bersuara mengenai isu itu, dan kebiasaanya beliau akan mengingatkan anggota PBS di bahagiannya supaya konsisten dalam perjuangan menentang pendatang tanpa izin. Malangnya, ia mengambil masa hanya beberapa minggu untuk berubah 180 darjah untuk menentang prinsipnya sendiri. Mungkin budaya lompat katak mengubah mereka,” kata Bangkuai.

Beliau menjelaskan bahawa PBS tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan penyiasatan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan pendatang tanpa izin, dan oleh itu, PBS telah menyeru pihak berkuasa yang berkuasa seperti polis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)  untuk menjalankan tugas itu.

“Fokus utama kami adalah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat. JPN tentu saja menafikan tuntutan kami, tetapi itu difahami.

“Kami tidak berpuas hati dengan penjelasan mereka, seperti yang dinyatakan oleh Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Amat sukar bagi PBS mempercayai JPN.”

Beliau berkata mantan Pasukan Petugas Khas Persekutuan Datuk Abu Talib Harun juga bersetuju bahawa sejumlah besar pendatang tanpa izin di Sabah berada pada angka yang membimbangkan pada tahun 1999.

Berdasarkan laporan RCI mengenai kehadiran besar pendatang tanpa izin di Sabah menunjukkan bahawa mereka telah menduduki sebahagian besar kawasan setinggan, dengan itu mengukuhkan lagi kebimbangan rakyat terhadap isu itu.

PBS, katanya, juga PBS berpegang kepada kepercayaan parti bahawa terdapat satu tindakan sistematik dalam pemberian dokumen pengenalan diri kepada pendatang tanpa izin dan akhirnya mendapat kewarganegaraan berdasarkan keputusan kerajaan negeri yang diterajui oleh Warisan, termasuk pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) yang boleh diperbaharui setiap tiga tahun kepada warga asing di negeri ini.

Beliau berkata kenyataan Abdul Rahman baru-baru ini menunjukkan ketidakikhlasan beliau semasa masih lagi ahli PBS.

“Kenyataannya telah membuat orang marah, terutamanya pengundi beliau. Beliau tidak ikhlas dalam perjuangan beliau selama ini, dan ia adalah penyesalan terbesar PBS,” katanya.-pr/BNN