KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan sambutan rakyat terhadap siri kempen GRS di seluruh Sabah sepanjang minggu pertama sebagai isyarat jelas bahawa gelombang sokongan terhadap gabungan itu semakin kukuh menjelang hari pengundian pada 29 November ini.
Menurutnya, kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bahawa gabungan itu mampu memenangi lebih 37 kerusi adalah realistik berdasarkan respons yang dilihat di lapangan.
Katanya, sambutan memberangsangkan di setiap lokasi kempen menunjukkan kesedaran rakyat Sabah tentang pentingnya meletakkan GRS sebagai tonggak pemerintahan negeri.
“Corak sambutan ini membuktikan rakyat tahu kepada siapa mandat patut diberikan. Ini bukan sekadar gelombang biasa, tetapi tanda keyakinan rakyat terhadap kepimpinan GRS,” katanya.
Beliau turut menarik perhatian terhadap kehadiran ramai pemimpin dan jentera luar yang dilihat “berkampung” di Sabah sejak beberapa bulan lalu.
“Fenomena ini harus diteliti. Rakyat mesti sedar bahawa ada pihak yang datang berduyun-duyun untuk menakluk Sabah. Inilah nilai Sabah pada pandangan mereka,” katanya.
Aksyah menegaskan bahawa sokongan kepada GRS kini bukan sekadar pilihan politik, tetapi satu perjuangan mempertahankan masa depan negeri.
Beliau menyeru rakyat untuk mengekalkan momentum sokongan sehingga diterjemahkan dalam bentuk undi kemenangan kepada semua calon GRS.
“Jika rakyat Sabah memberikan kemenangan kepada calon GRS, itu membuktikan kebijaksanaan rakyat dalam menentukan nasib masa depan negeri tercinta,” tegasnya.
Mengulas mengenai manifesto pilihan raya, Aksyah berkata hampir semua parti telah mengemukakan tawaran masing-masing, namun manifesto GRS mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Manifesto GRS bukan tawaran baharu semata-mata. Ia adalah kesinambungan dasar di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya 1.0 (SMJ1.0). Manifesto ini adalah langkah strategik membawa Sabah ke fasa seterusnya melalui Halatuju SMJ2.0,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan pelaksanaan SMJ1.0 di bawah kepimpinan Hajiji membuktikan asas pembangunan negeri telah diletakkan dengan kukuh.
Aksyah turut menyeru rakyat Sabah memberikan mandat besar kepada GRS demi masa depan negeri.
“Jika rakyat mahu menikmati SMJ2.0, berilah sokongan penuh kepada GRS. Hajiji telah menggagaskan dan melaksanakan SMJ1.0 dengan baik. Kini tiba masanya kita melangkah ke destinasi seterusnya — menuju Sabah yang makmur, aman, stabil dan sejahtera,” katanya.





