LAHAD DATU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya,Tourism Malaysia, hari ini menganjurkan sesi taklimat mengenai bantuan geran pelancongan bersama penggiat industri dan pemegang taruh sektor pelancongan di Lahad Datu.

Program ini bertujuan memberikan penerangan menyeluruh mengenai kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta pelan strategik yang digariskan. Antara yang turut dikongsikan adalah pelbagai insentif yang ditawarkan termasuk Geran Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang disampaikan oleh wakil MOTAC.

Sesi taklimat tersebut disertai lebih 40 peserta, merangkumi wakil industri, rakan strategik dan pihak berkepentingan utama. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif VM2026 untuk memacu pembangunan sektor pelancongan negara.

Menurut Cik Haryanty Abu Bakar, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, “Visit Malaysia 2026 bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya merupakan gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian, kemesraan serta kepelbagaian kaum dan budaya di negara kita.”

Beliau menambah, “Sesi taklimat ini diharap memberi inspirasi kepada penggiat dan pemegang taruh industri pelancongan di Lahad Datu untuk bergerak lebih proaktif dan kreatif dalam aktiviti promosi, sekali gus menarik lebih ramai pelawat ke daerah tersebut”.

Melalui kempen VM2026, Malaysia terus menekankan usaha memperkukuh sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

Momentum positif ini disokong oleh prestasi ketibaan pelawat antarabangsa yang memberangsangkan pada tahun 2025 dengan jumlah 42.1 juta pelawat.

Bertemakan lagu Surreal Experiences, VM2026 akan menampilkan rangkaian program berskala nasional sepanjang tahun, termasuk festival, acara kebudayaan, pameran, dan sambutan komuniti, semuanya dirangka untuk menarik pelawat dari seluruh dunia.

Dengan memanfaatkan potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul di rantau ini, VM2026 dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan ketibaan pelawat,membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memperkukuh imej negara di pentas antarabangsa.

Selain merancakkan aktiviti ekonomi, kempen ini juga memberikan manfaat kepada komuniti setempat sambil menyokong sektor berkaitan seperti pengangkutan, peruncitan, kraf tangan dan industri kecil dan sederhana (IKS).-pr/BNN