KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub, mengadakan sesi dialog bersama penduduk Kampung Kuangoh bagi membincangkan isu bekalan air bersih yang sekian lama menjejaskan kehidupan masyarakat di kampung berkenaan.
Sesi yang berlangsung di Mini Dewan Kampung Kuangoh itu turut dihadiri Penolong Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri; Jurutera Daerah Jabatan Air Keningau, Zuraimi @ Zurami Asbullah; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Lectus Fung.
Dalam sesi berkenaan, penduduk diberi peluang menyuarakan aduan secara langsung kepada pihak berkaitan, manakala Jabatan Air memberikan penjelasan mengenai keadaan semasa sistem bekalan serta langkah penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan.
Masalah penyaluran air bersih di kampung itu dilaporkan berlarutan sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menuntut penyelesaian lebih menyeluruh dan berkesan.
Pendekatan dialog terbuka yang diambil dilihat sebagai langkah proaktif dalam merangka penyelesaian bersama, selain memperkukuh kerjasama antara wakil rakyat, agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat demi memastikan kemudahan asas rakyat terus diberi perhatian sewajarnya.-pr/BNN





