KOTA KINABALU: Sabah menerima dana sebanyak RM22.75 juta daripada Kerajaan Persekutuan di bawah inisiatif “Ecological Fiscal Transfer” (EFT) bagi menyokong usaha
pemuliharaan alam sekitar oleh Kerajaan Negeri.

Dana tersebut, yang kini berjumlah RM126.36 juta sejak 2019, disampaikan oleh
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup
kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu,
berhampiran sini, hari ini.

“Ini jelas menunjukkan pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap dasar
pemuliharaan alam sekitar Kerajaan Negeri yang kukuh,” kata Hajiji.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan sokongan berterusan daripada Kerajaan
Persekutuan,” katanya.

Turut dibincangkan ialah pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan
penyelarasan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dengan perundangan
Sabah bagi memastikan manfaat ekonomi karbon dapat dioptimumkan oleh Kerajaan
Negeri Sabah.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian NRES Datuk Nor Yahati
Awang serta pegawai-pegawai kanan.-pr/BNN