KENINGAU: Suasana santai tetapi penuh makna mewarnai majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di premis Sandapak Trading, Kampung Sandapak, Bingkor, kelmarin, yang terus menjadi platform memperkukuh hubungan kekeluargaan dan komuniti setempat.
Majlis anjuran usahawan tempatan, Wong Langkab itu bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya mencerminkan budaya ‘sulod’ dalam kalangan etnik Dusun Gana — nilai kebersamaan yang menekankan kehadiran dengan keikhlasan dan rasa kekeluargaan.
Wong yang juga pembekal gas Petronas serta aktif dalam bidang pertanian, menyambut tetamu dengan penuh mesra, sekali gus menyerlahkan keperibadian merendah diri dan dekat dengan masyarakat.
Kehadiran saudara-mara dari pelbagai daerah termasuk Kota Kinabalu, Kota Belud, Kinarut, Bongawan dan Papar turut memeriahkan majlis, sekali gus memperlihatkan kukuhnya ikatan kekeluargaan yang terus dipupuk saban tahun.
Majlis tahunan itu bukan sahaja dinanti sebagai acara perayaan, malah menjadi ruang menyatukan generasi lama dan baharu dalam satu keluarga besar, sekali gus memastikan nilai hormat, kasih sayang dan perpaduan terus subur dalam komuniti. -pr/BNN





