KENINGAU:  Dua tokoh masyarakat Cina di daerah ini menyatakan sokongan terhadap inisiatif memperkukuh hubungan antara Sabah dan China, khususnya melalui usaha menghidupkan semula hubungan bandar berkembar yang dilihat mampu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

Sokongan itu dizahirkan Pengerusi Pertubuhan Sze Yi Keningau, Datuk Peter Ma Kin Yee, serta Presiden Persatuan Hakka Keningau merangkap Pengerusi The Chong’s Clan Association Sabah, Kapitan Anthony Chong, yang menyifatkan langkah dipacu Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai sebagai strategik dan bertepatan dengan keperluan semasa.

Mereka berkata, pengukuhan hubungan antarabangsa itu bukan sahaja membuka ruang kepada pelaburan dan perdagangan, malah berpotensi meningkatkan kemasukan pelancong dari China ke Sabah, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada kawasan pedalaman termasuk Keningau.

“Pendekatan ini mencerminkan keterbukaan serta kesediaan Sabah untuk bergerak seiring arus global, di samping memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk melalui jaringan antarabangsa,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Sementara itu, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr Zhu Xingkong turut menyatakan sokongan terhadap usaha berkenaan ketika mengadakan pertemuan bersama Joniston bagi membincangkan potensi kerjasama baharu antara Sabah dan China.

Beliau berkata, hubungan yang kukuh dan berterusan mampu membawa manfaat bersama, termasuk dalam pertukaran pengetahuan, pembangunan komuniti serta pertumbuhan mampan untuk kedua-dua pihak.

Terdahulu, Joniston menegaskan usaha memperkasa hubungan Sabah–China penting bagi memastikan negeri ini kekal kompetitif sebagai destinasi pelancongan utama, selaras dengan aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya.

Inisiatif berkenaan dilihat bukan sekadar memperluas jaringan diplomasi ekonomi, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan inklusif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di pelbagai peringkat.-pr/BNN