KENINGAU: Komitmen terhadap pembangunan sukan negeri terus diperkukuh apabila Presiden Inter United FC, Moddy Patrick, menghulurkan sumbangan kewangan kepada pasukan ragbi Sabah yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Sumbangan itu bertujuan membantu persiapan pasukan merangkumi latihan, logistik dan keperluan pertandingan, selain menjadi suntikan moral kepada pemain untuk memberikan prestasi terbaik di pentas kebangsaan.
Moddy berkata, inisiatif berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi pemain dan barisan jurulatih yang terus berusaha mengharumkan nama Sabah dalam sukan ragbi.
“Diharapkan sokongan ini dapat meningkatkan semangat pasukan untuk mencapai kejayaan di SUKMA 2026,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan belia dan atlet akan terus diberi keutamaan dalam usaha melahirkan masyarakat yang sihat, berdaya saing dan bersatu.
Langkah itu mencerminkan peranan penting sokongan komuniti dalam memperkukuh pembangunan sukan negeri secara berterusan.-pr/BNN





