KENINGAU: Usaha memelihara warisan budaya Orang Asal Sabah terus diperkasa apabila Pengerusi Padang Ragut Ternakan Kampung (PPRTK) Sandapak Bingkor, Eligius A. Manjin, menyalurkan sumbangan kewangan kepada Sekolah Adat Anak Negeri Sabtu (SANNS) Bingkor bagi pembinaan rumah adat di Kampung Limbawang, Tuaran.
Sumbangan itu diserahkan kepada wakil SANNS dalam satu kunjungan ringkas, yang turut disaksikan beberapa guru sekolah berkenaan.
Eligius berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen PPRTK Sandapak dalam memperkasa pembangunan komuniti secara menyeluruh, termasuk aspek pemeliharaan warisan budaya.
“Pemeliharaan budaya adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan identiti etnik terus kekal dan diwarisi generasi muda,” katanya.
Sementara itu, wakil SANNS menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai pemangkin penting dalam usaha membina rumah adat sebagai pusat pembelajaran budaya etnik Dusun Gana.
Katanya, inisiatif itu membantu memastikan bahasa, adat resam dan nilai tradisi masyarakat terus dipelihara di tengah arus pemodenan.-pr/BNN





