LAHAD DATU: Lahad Datu berpotensi tinggi sebagai lokasi strategik bagi Tapak Pelancaran Roket atau satelit bagi kawasan Asia Tenggara, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Insya Allah dalam beberapa tahun akan datang. kalau tiada aral melintang. Lahad Datu inilah yang terbaik untuk dijadikan pusat pelancaran roket satelite daripada sebelah Asia Tenggara.

“Jadi ini berlaku dalam dua tiga tahun akan datang, Lahad Datu akan dikunjungi oleh ramai pelancong termasuk saintis-saintis angkasa akan datang ke daerah ini.

Ini sudah pasti akan menjadi pemangkin ekonomi kepada Lahad Datu,” katanya sempena Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 Datuk Hj Abdul Hakim Bin Hj Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, di sini pada Khamis.

Beliau juga berkata, Lahad Datu adalah daerah paling seuai sebagai tapak pelancaran roket atau satelit berdasarkan kajian akhir yang dibuat oleh kerajaan negeri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.

“Banyak negeri yang melobi untuk jadi tempat ini (tapak pelancaran satelit), tetapi petunjuk atau kajian mendapati bahawa Lahad Datu adalah tempat yang paling sesuai untuk projek ini,” katanya.

Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri bukan saja akan terus membawa pembangunan di Lahad Datu, tetapi juga kesejahteraan rakyat di daerah ini turut diberi penekanan  utama.

“Saya sebenarnya mempunyai keinginan beberapa kali untuk melawat Lahad Datu, terutama sebelum pilihan raya lalu.

Tetapi oleh beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan, sayaidak dapat berkemp;en di sini. Tidak apa kita ada lagi pilihan raya Parlimen tahun depan.

“Apa yang penting, saya mahu rakyat kita di sini bersatu hati, pilih parti kerajaan untuk kebaikan kita.

Sebab kerajaan negeri sekarang ini telah pun melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah. Kita ada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan banyak yang berjaya kita buat di negeri ini.

“Jangan kita dengar fitnah daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai umat Islam kita mesti berpegang lepada kebaikan dan kebenaran. Apa yang dibuat oleh kerajaan mesti dinyatakan kepada rakyat.

Saya minta juga agar rakyat tidak mudah percaya dengan segala tuduhan, tohmahan dan fitnah yang pastinya akan merugikan kita sendiri,” katanya.-pr/BNN